Search This Blog

Friday, December 31, 2010

Anggota PGA cedera parah, kereta rempuh sekatan jalan raya



GEORGE TOWN -- Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera parah selepas sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol merempuh sekatan jalan raya di Jalan Paya Terubong, menghala Balik Pulau, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Kpl Amirrul Fitri Norrizat tersepit di antara dua pacuan empat roda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diletakkan di bahu jalan akibat rempuhan itu.

Seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun yang sedang menunggu giliran untuk diperiksa dalam sekatan itu turut dirempuh yang menyebabkannya tercampak manakala motosikalnya diheret sejauh 150 meter, katanya.

Katanya Amirrul Fitri, 25, dari Batalion 1, PGA, Ulu Kinta, Perak mengalami kecederaan parah pada paha kanannya manakala penunggang motosikal terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Kereta yang dipandu lelaki berusia 33 tahun itu turut terbakar pada bahagian enjin bagaimanapun berjaya dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang tiba kira-kira lima minit kemudian, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan yang tidak cedera kini ditahan untuk siasatan kerana memandu secara melulu dan berbahaya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment