Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

Anak temani mayat ibu lebih dua hari


SIBU 14 Dis. - Seorang budak perempuan berusia empat tahun ditemui terbaring di sisi mayat ibunya yang telah mula membengkak dan berbau dipercayai mati dibunuh lebih dua hari.
Mangsa, Magdeline Chadon, 36, dari Kapit ditemui pada pukul 1 petang tadi di rumah sewanya di Jalan Hua Kiew dengan kecederaan di belakang leher dan telinga kanan dengan ulat telah mengerumuni luka tersebut.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, kejadian disedari tuan rumah yang mengunjungi rumah tersebut dan terdengar tangisan kanak-kanak sedangkan rumah berkunci dan lampu masih menyala.
''Tuan rumah ini bertindak memecah masuk dan mendapati seorang kanak-kanak perempuan terbaring lemah tak bermaya di sisi mayat ibunya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, tuan rumah yang terperanjat dengan keadaan itu bertindak segera dengan menghubungi polis.
Katanya, mangsa telah empat bulan bercerai dan jirannya mendakwa terdengar pertengkaran apabila bekas suaminya mengunjungi rumah tersebut.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan seorang pengawal keselamatan pukul 4.30 petang ini bagi membantu siasatan.
Mangsa dan anaknya itu, kata Shafie, dihantar ke Hospital Umum Sibu. Malah kanak-kanak tersebut dipercayai berlapar ketika menemani mayat ibunya.
''Kanak-kanak tersebut muntah ketika cuba diberi makanan dan doktor percaya ibunya telah meninggal lebih dua hari. Malah kanak-kanak itu enggan bercakap seolah-olah berada dalam trauma," katanya lagi.
Polis katanya, mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dan sedang mencari motif pembunuhan tersebut.
Keadaan kanak-kanak malang itu, katanya, telah dimaklumkan kepada jabatan kebajikan untuk tindakan.
habis

No comments:

Post a Comment