Search This Blog

Wednesday, December 29, 2010

Adik maut di tangan abang



TUMPAT - Pelajar Tingkatan Empat maut, selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung kereta Iswara dipandu abangnya berhampiran jalan Kampung Bendang Pak Yong di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Mohd Syafiq Ghani, 16, menunggang motosikal Yamaha 125 meninggal dunia ketika dalam pejalan ke hospital Tumpat, manakala abang sulung mangsa, Mazlan Ghani, 19, tangan kirinya terseliuh.

Mangsa dipercayai keluar dari rumahnya dekat Kampung Bendang Pak Yong ke Kota Bharu, dikatakan terbabas bertembung kereta abangnya dari arah bertentangan selepas memotong kenderaan lain sebelum terbabas dan motornya terperosok bawah kereta.

Mazlan dikatakan gagal mengelak terbabas ke kiri jalan selepas terlanggar motosikal mangsa sebelum merempuh tiang lampu.

Ibu saudara mangsa, Rokiah Ismail, 53, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan saudaranya mengenai kejadian yang menimpa anak saudaranya itu pada jam 6 petang kelmarin, sebelum bergegas ke hospital.

Menurutnya, arwah keluar selepas menikmati minuman dalam plastik yang dikongsi bersama ibunya, Zaleha Awang Kecik, 45, di rumah mereka, kelmarin.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik, namun sempat memotong rambutnya kelmarin.

“Dia begitu beria-ia mahu memotong rambutnya kerana tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan yang tidak berapa lama lagi yang mana arwah akan menduduki Sijil Penilaian Menengah (SPM),” katanya ketika ditemui di rumah mangsa.

Rokiah berkata, arwah iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, begitu rapat dengan abangnya itu dan kejadian yang menimpa mangsa membuatkan abangnya masih trauma dan terkejut.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bendang Pak Yong, pada jam 11 malam kelmarin, selepas dituntut keluarga di unit forensik Hospital Tumpat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa meninggal dalam perjalanan ke Hospital Tumpat. Mereka yang melihat kejadian diminta salur segera maklumat kejadian.

No comments:

Post a Comment