Search This Blog

Wednesday, December 15, 2010

7 premis judi diserbu





SERI KEMBANGAN – Tindakan segelintir pengusaha pusat siber yang menjalankan aktiviti perjudian secara ‘curi-curi’ kononnya untuk mengelakkan kegiatan itu diketahui pihak berkuasa tumpas apabila ia diserbu, petang kelmarin. 

Dalam Ops Dadu yang dilaksanakan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, tujuh premis perjudian bertopengkan pusat siber lumpuh ketika belum sempat memulakan perniagaan seperti biasa. 

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Abd Razak Elias berkata, hasil risikan anggota selain maklumat awam, pihaknya menyerbu premis di sekitar Seri Kembangan dan Jalan Pasar di sini. 

Menurutnya, anggotanya terpaksa memecah masuk pintu utama premis sebelum menemui puluhan set komputer yang mempunyai perisian perjudian. 

“Kami menerima maklumat daripada orang awam yang menyatakan pengusaha menjalankan perniagaan berkenaan secara ‘curi-curi’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

“Dengan bantuan 15 anggota, operasi ‘membersihkan’ premis dijalankan bermula jam 5 petang dan berakhir 11 malam,” katanya kepada Sinar Harian yang memberitahu 64 set komputer berjaya dirampas dalam operasi itu. 

Abd Razak berkata, serbuan akan dibuat dari masa ke semasa dalam usaha membanteras tempat perjudian di daerah ini. 

“Saya memberi amaran kepada pengusaha supaya tidak mengulangi kesalahan kerana pemantauan akan dijalankan berterusan. 

“Bagi pemilik premis yang masih berdegil, kami tidak akan teragak-agak bertindak mengusulkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya bekalan elektrik dipotong,” katanya yang memaklumkan pihaknya akan mengulangi membuat pemantauan ke premis yang diserbu berdasarkan rekod.

No comments:

Post a Comment