Search This Blog

Saturday, December 25, 2010

6 kali tenggelam

ADU...Murugiah (kanan) mendengar aduan Guandamah Rajagopal (tiga dari kiri), semalam.
ADU...Murugiah (kanan) mendengar aduan Guandamah Rajagopal (tiga dari kiri), semalam.


PUCHONG: Pembinaan apartmen 21 tingkat dan masalah saluran pembetungan didakwa menyebabkan lebih 10 rumah penduduk dan kedai di Jalan Besar, Batu 14, dekat sini, menanggung kerugian setiap kali berlaku banjir selepas hujan lebat.
Penduduk, V Appavoo, 40, mengakui masalah banjir tidak pernah berlaku sebelum ini, namun selepas pembinaan apartmen kira-kira 70 meter dari rumahnya dua tahun lalu, kejadian terbabit mula menghantui mereka.

Dia yang tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan sejak kecil berkata, setiap kali hujan, mereka terpaksa mengemaskan barangan termasuk pakaian, perabot, peralatan rumah bagi mengelakkan ia rosak akibat banjir.

“Bagi tahun ini, sudah enam kali banjir berlaku dan paling teruk berlaku pada awal Disember lalu apabila paras air banjir mencecah 0.6 meter.

“Lebih teruk, ayah saya yang mengalami masalah kesihatan terjatuh dari katil dan hampir lemas dalam banjir ketika itu.

“Pernah kejadian banjir berlaku sebanyak tiga kali untuk tempoh seminggu dan saya sangat kecewa kerana masalah itu berpunca dari pembangunan apartmen terbabit,” katanya ketika hadir dalam lawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T Murugiah di sini, semalam.

Katanya, masalah terbabit pernah dilaporkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun selepas tempoh dua tahun menunggu masih tiada tindakan.

Sementara itu, Murugiah berkata, banjir berlaku disebabkan saluran pembetung terlalu kecil bagi menampung keseluruhan air dan proses pembangunan apartmen terbabit.
Katanya, tindakan segera akan diambil dalam tempoh seminggu antaranya cadangan memperbesarkan pembetung terbabit, selain ia akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kerja Raya.

No comments:

Post a Comment