Search This Blog

Tuesday, December 7, 2010

3 minit kebas motosikal



Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2010/12/07

Dua geng dianggotai pelajar terbabit kes curi sejak 2 tahun 

KANGAR: Hanya tiga hingga lima minit – itulah tempoh maksimum diperlukan seorang pencuri untuk melarikan sebuah motosikal, terutama jenis Honda, lebih-lebih lagi membabitkan model EX-5.Malah, tempoh sebenar yang diperlukan terutama oleh seorang pencuri yang dianggap mahir dipercayai jauh lebih pantas dan dikatakan boleh dilakukan dalam tempoh kurang tiga minit, lebih-lebih lagi jika motosikal itu tidak dilengkapi kunci kedua.Ia didedahkan sendiri Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Lee Swee Meng, susulan kejayaan pihaknya menggagalkan operasi dua geng curi motosikal dianggotai majoriti pelajar sekolah berusia 16 tahun dari sekitar Kodiang dekat sini, beberapa hari lalu. 

Kumpulan itu disyaki terbabit sekurang-kurangnya 74 kes curi motosikal, majoritinya jenis Honda Ex-5 bukan saja di Perlis, malah turut membabitkan kawasan sekitar Kedah dan Pulau Pinang, sejak lebih dua tahun lalu. 

Mengulas lanjut taktik mereka, Lee berkata mereka akan menendang tayar depan motosikal untuk mematahkan kunci kedua pada tengkuk motosikal, sebelum membuka bahagian lampu hadapan pada ruang muka pemegang motosikal yang kebiasaannya hanya ditutupi satu atau dua skru kecil. 

“Selepas itu, suis motosikal sudah boleh dihidupkan melalui sambungan wayar pada ruang mukanya, sebelum dilarikan yang keseluruhan prosesnya memakan masa kurang tiga minit," katanya. 
Dalam kejadian jam 2 pagi pada 1 Disember lalu, dua remaja berusia 16 tahun ditahan selepas dikesan cuba mencuri motosikal di sekitar kawasan pasar raya di sini, sebelum disusuli penahanan dua lagi suspek kira-kira sejam setengah kemudian. 

Hasil siasatan, semua suspek yang masih bersekolah dan berasal dari Kodiang, termasuk dalang utamanya mengaku terbabit sekurang-kurang 30 kes curi motosikal sejak dua tahun lalu. 

Semua mereka mengaku mencuri motosikal terbabit di sekitar negeri ini, termasuk kawasan Changloon, Jitra dan Alor Setar untuk mendapatkan alat ganti, manakala rangkanya dibuang di tiga lokasi berbeza di sepanjang Sungai Sentap dekat sini. 

Selain empat remaja itu, Lee berkata pihaknya turut berjaya mematahkan kegiatan satu lagi kumpulan yang turut dianggotai majoriti pelajar sekolah berusia 16 tahun dan dipercayai mempunyai kaitan dengan geng pertama. 

"Semua empat remaja serta seorang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sehari kemudian dan hasil siasatan mendapati mereka terbabit sekurang-kurangnya 44 kes curi motosikal majoritinya membabitkan Honda EX-5 di sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya. 

Lee berkata, pihaknya yakin kaedah yang mudah dan pantas untuk melarikan motosikal antara faktor dua geng itu memilih motosikal model berkenaan sebagai sasaran mereka. 

"Buat masa ini, kita boleh kaitkan 74 kes curi membabitkan kedua-dua geng itu. 
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Perlis di talian 04-9711999 untuk membantu siasatan,” katanya. 

dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya. 

No comments:

Post a Comment