Search This Blog

Friday, December 31, 2010

20 pemuda serang wartawan Maluku




2010/12/31

Laporan permusuhan kumpulan jadi punca 

PALU: Sekumpulan pemuda yang marah mengenai satu laporan media menyerbu sebuah pejabat akhbar dan membelasah tiga wartawan selepas gagal menemui penulis berita itu.Saksi berkata, 30 anggota satu pergerakan belia tempatan di wilayah Sulawesi Tengah menyerang wartawan berkenaan yang sebenarnya tidak terbabit langsung dengan penulisan berita itu.
Artikel yang menjadi penyebab serangan mengulas mengenai konflik pergerakan pemuda terbabit dengan kumpulan lain. 

Seorang wartawan dikejarkan ke hospital kerana cedera di dagu. Kejadian itu menyebabkan pertubuhan Perikatan Wartawan Bebas menggesa polis melakukan siasatan. 

Pertubuhan media itu menekankan, ia keganasan kali ke-37 tahun ini terhadap wartawan di Indonesia. 

Laporan media tempatan mendedahkan pergerakan itu sebagai Barisan Belia Kaili (FPK) yang menyerbu dan menyerang wartawan terbabit pada awal pagi terhadap pejabat berita online, beritapalu.com. 
Penyerang merosakkan pejabat itu dan memukul Ridwan Lapasere dan Muhammad Sharfin. 

Ridwan dan Muhammad berkata, anggota polis hadir ketika kejadian, tetapi tidak dapat menghalang serangan. 

Penyerang menuduh laporan mengenai permusuhan mereka dengan kumpulan satu lagi tidak seimbang khususnya terhadap seorang pegawai mereka yang dikenali sebagai Erwin SL. 

“Ketika saya cuba jelaskan kandungan berita itu kepada mereka, beberapa daripada mereka memecahkan sesuatu dan disusuli oleh rakan,” kata Ridwan. 
Ridwan dan Muhammad cedera di kepala selepas dipukul. 

“Kami sudah melaporkannya kepada polis. Mereka perlu menangkap penyerang kerana ia perbuatan jenayah. Kes itu perlu disiasat supaya semua pihak dapat pengajaran,” katanya lagi. 

Ogos lalu, seorang wartawan penyiaran, Ridwan Salamun terbunuh ketika pergaduhan meletus antara penduduk kampung di Tual, Maluku. 

Ridwan bertugas untuk stesen televisyen Sun TV. Dia maut ketika membuat liputan pergaduhan antara penduduk di Banda Eli dan Mangun, tenggara Maluku. 

Di Bali, seramai 70 wartawan mengingati kematian Ridwan dengan mengadakan tunjuk perasaan di Denpasar. Protes menuntut lebih banyak perlindungan kepada wartawan turut diadakan di Jakarta. – Agensi 

No comments:

Post a Comment