Search This Blog

Friday, December 17, 2010

2 pengurup wang didakwa


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Dua pengarah syarikat pengurup wang dan seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 61 tuduhan termasuk pengubahan wang haram berjumlah RM4 juta, tiga tahun lalu.
Mohd. Rafik P.P. Abdul Rahiman, 44, dan Syed Muhamed Ebunu Masood, 34, yang merupakan pengarah syarikat KL Resources Sdn. Bhd. didakwa bersama syarikat mereka itu dengan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.
Mereka didakwa gagal menyimpan rekod transaksi mata wang tempatan yang melebihi RM20,000 seperti yang ditentukan pihak berkuasa.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 87(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 86(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000.
Kedua-dua tertuduh dan KL Resources turut didakwa bagi 10 lagi pertuduhan mengikut Akta Pengurupan Wang 1998, membuat pengiriman dana ke luar Malaysia bagi pihak ketiga membabitkan jumlah antara RM50,000 dan RM698,000.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 (1)(a) akta tersebut dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(2) akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, penghantar surat, Abu Thahir Hanifah, 31, didakwa bersubahat melakukan pengiriman dana ke luar Malaysia bagi pihak ketiga membabitkan wang RM1,812,603.50.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela M. Puravelan didakwa melakukan perbuatan itu di Lot G-03 & G-04 Wisma MPL Jalan Raja Chulan di sini, antara 25 Disember 2006 hingga 29 Mei 2008.
Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Suhanna Omar mencadangkan jaminan RM250,000 terhadap dua pengarah terbabit dan RM30,000 bagi Abu Thahir.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari depan.

No comments:

Post a Comment