Search This Blog

Friday, November 5, 2010

Warga Nigeria dipenjara





Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Oparaugo Uchenna Samuel, semalam.


SHAH ALAM 4 Nov. - Terpikat dengan janji manis seorang duda berketurunan Amerika, Edmund Wax melalui Internet, wanita Filipina berusia 45 tahun sanggup berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk meraikan hari lahir serta merancang perkahwinan mereka.
Namun, apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Narita, Jepun pada pukul 5.20 pagi, 12 Disember 2009, bukan ahli perniagaan itu yang menyambutnya, sebaliknya dia disambut lelaki warganegara Nigeria, Oparaugo Uchenna Samuel bersama seorang rakannya.
Mulai detik itu, impian indah wanita tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua lelaki tersebut bertindak mengikat tangan dan kaki serta menyumbat mulutnya sehingga pengsan selepas dia dibawa ke sebuah rumah.
Tidak cukup sekadar dikurung dalam keadaan bogel, mangsa yang berusia 45 tahun itu telah ditipu, dimarahi, ditendang dan dipukul dengan pisau panas apabila dia meminta makanan.
Sementara barang-barang miliknya seperti sebuah beg pakaian, telefon bimbit i-Phone dan komputer riba turut dirampas oleh kedua-dua lelaki itu.
Dalam tempoh tersebut, teman wanita Samuel, Nurrul Atika Baharuddin dan rakannya, Khairun Azhan Mohammed Aziddin hanya berdiam diri walaupun melihat wanita itu dikurung serta diseksa semasa berkunjung ke rumah tersebut.
Selepas beberapa hari dikurung, wanita malang itu pengsan dan ditinggalkan tanpa belas kasihan di Jalan PJS 11, Petaling Jaya pada 17 Disember tahun lalu sebelum ditemui oleh orang awam.
Sekalipun melakukan perlakuan kejam, Samuel yang sebelum ini didakwa atas tuduhan menculik begitu bernasib baik apabila ditawarkan pertuduhan pilihan.
Dia yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melarikan mangsa dengan niat untuk mengurung secara sulit dan salah.
Sementara Nurrul Atika, 21, dan Khairun Azhan, 25, yang juga penuntut kolej swasta pula dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah dengan sengaja tidak melaporkan perbuatan Samuel.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki semasa menjatuhkan hukuman itu berkata, kesalahan dilakukan Samuel bukan sahaja serius malah perbuatannya langsung tidak menghormati undang-undang negara.
"Saya bersetuju bahawa hukuman setimpal tiga tahun penjara dari tarikh ditangkap dijatuhkan ke atas tertuduh pertama (Samuel) dan selepas habis hukuman, dia perlu dihantar pulang ke negara asal.
"Tertuduh kedua dan ketiga, walaupun perbuatan awak bukan satu kesalahan aktif tetapi bentuk kesalahan kamu adalah serius dan kamu sepatutnya membuat aduan awal kepada polis," katanya.
Mengikut pertuduhan pilihan, Samuel bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melarikan wanita warganegara Filipina itu dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara sulit dan salah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. E-12-05, Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Taman Sri Mentari, Petaling Jaya dekat sini antara pukul 5.20 petang, 12 Disember 2009 dan 9.50 pagi, 17 Disember 2009.
Dia dituduh mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Nurrul Atika yang melahirkan seorang bayi yang kini berusia empat bulan ketika di penjara, iaitu hasil hubungan dengan Samuel dan Khairun Azhan pula didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat mengenai kesalahan yang dilakukan Samuel.
Mereka berdua dituduh di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

1 comment:

  1. hi.....tertarik sgt2.....sy nurul atika yg dimksdkn.....adakh cte ni 100% btol atau u bc dri paper je??

    ReplyDelete