Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Wanita dipijak peragut



TAMAN SRI PUTRI – Seorang wanita dipijak peragut kejam yang berang apabila habuan beg tangan milik wanita itu gagal diperoleh dalam kejadian kira-kira jam 2 petang berhampiran Jalan Sri Putri 6/1 berdekatan Tadika Kemas di sini, Selasa lalu.

Wanita terbabit Siti Zaleha Ngadimin, 46 berkata, ketika kejadian beliau sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah setelah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Ketika itu saya baru lepas turun dari bas di hadapan masjid berhampiran dan terus berjalan kaki menuju ke rumah.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi enjin kenderaan dan terkejut tiba-tiba beg ta�ngan diragut dari arah belakang oleh seorang penunggang motosikal,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian itu, dia turut jatuh dan terseret kira-kira satu meter apabila cuba bertahan agar begnya tidak diragut sehingga menyebabkan motor peragut berkenaan turut terjatuh sama.

“Peragut itu hanya berseorangan dan turut terjatuh apabila beg saya gagal diragutnya. Namun kemudiannya dia segera menghampiri saya untuk mengambil beg sekali lagi.

“Saya nekad mempertahankan diri dan mengelakkan beg diambil kerana terdapat dokumen penting di dalamnya, sambil menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Katanya, orang ramai dari kawasan perumahan berhampiran yang terdengar jeritannya segera datang ke tempat kejadian untuk membantunya, namun gagal menjejaki peragut yang sempat melarikan diri.

“Peragut berkenaan sempat memijak perut saya apabila mendapati orang ramai telah menyedari kejadian itu sebelum melarikan diri bersama motosikalnya.

“Sehingga sekarang kesakitannya masih terasa, tambahan pula saya pernah menjalani pembedahan di perut sebelum ini. Malah saya masih tidak dapat berjalan dengan baik setelah cedera akibat kejadian itu,” katanya.

Siti Zaleha yang trauma dengan kejadian itu terpaksa diberikan suntikan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami dan turut dinasihatkan agar mendapatkan rawatan susulan.

“Doktor maklumkan tisu-tisu di bahagian perut saya rosak akibat dipijak dan peristiwa itu menyebabkan saya trauma untuk tinggal seorang diri di rumah kerana sering terbayang kejadian yang berlaku.

“Mujurlah saya dapat menumpang di rumah kakak yang kebetulan tinggal di Bandar Putra sehingga suami pulang dari kursus beberapa hari lagi,” katanya.

Katanya, dia juga dapat mengecam wajah peragut berkenaan yang dipercayai berada dalam lingkungan umur 20-an hingga 30-an dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.

No comments:

Post a Comment