Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Ulat tiket tolong angkat beg

KUALA LUMPUR: Tidak hanya menuturkan kata-kata pujukan selepas mengejar pelanggan sejurus turun dari pintu kenderaan, mereka turut sanggup memberi membantu mengangkat beg. Itu antara taktik digunakan ulat tiket di Terminal Sementara Bukit Jalil.
Wartawan yang membuat tinjauan di kawasan itu semalam turut didekati ulat tiket menawarkan tiket mereka ketika menggunakan laluan pejalan kaki di hadapan terminal itu.
Tinjauan mendapati lebih daripada 10 ulat tiket lengkap memegang walkie-talkie berlegar-legar di luar kawasan terminal untuk merebut pelanggan dengan ada antaranya berdiri di tepi jalan dan laluan pejalan kaki.

Tidak kurang juga ada yang berlegar-legar di dalam kawasan terminal dan berteduh di bawah jejantas mencari pelanggan sambil memegang buku tiket berwarna kuning.


Seorang ulat tiket menghampiri wartawan yang disangkakan pelanggan pada awalnya mesra berkomunikasi, namun berang apabila tawarannya tidak langsung dilayan.

Malah, tinjauan mendapati ulat tiket terbabit berani menjalankan kegiatan mereka kerana tiada anggota penguat kuasa yang menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan itu.

Kewujudan kaunter Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di terminal berkenaan juga seolah-olah tidak beroperasi berikutan ketiadaan anggota di situ.

Bagaimanapun, hanya terdapat beberapa anggota trafik di luar terminal menjaga lalu lintas berikutan sikap pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Sementara itu, warga emas, Hamisah Abdul Rahman, 79, berkata kewujudan ulat tiket terbabit merimaskan orang ramai kerana sikap mereka yang memaksa bagi mendapatkan pelanggan.

“Demi mendapatkan pelanggan mereka sanggup menunggu di tepi jalan, malah agak keterlaluan apabila ada antaranya menerpa pelanggan sebaik turun daripada kenderaan.

“Sikap mereka yang kerap mengajukan soalan seperti mahu tiket bas ke mana? bila? membuatkan kami berasa tidak selesa. Malah, cucu saya pernah menjadi mangsa ulat tiket yang menjual tiket tipu,” katanya.

Bagi, Sumayah Johari, 24, kegiatan ulat tiket terbabit perlu dipantau berterusan kerana mereka sentiasa mencari peluang mendapatkan pelanggan.

“Operasi membanteras ulat tiket pernah dilakukan di terminal ini, namun ia hanya sementara kerana kini mereka kembali rancak menjalankan kegiatan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment