Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Tidak sempat terima 'pen drive'



KAMPUNG RAJA – Seorang guru lelaki, Ahmad Rushdan Jusoh, 42, yang dalam perjalanan untuk menerima 'pen drive' daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta kira-kira jam 2 petang di Alor Lintah dekat Jertih, kelmarin. 

Ketua Polis Daerah, Superinten-dan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang membelok untuk memasuki simpang Kampung Kubang Bemban dekat Alor Lintah. 

Menurutnya, mangsa dari rumahnya di Kampung Raja menuju ke Jertih merempuh sebelah kiri sebuah Proton Wira yang dipandu wanita berumur 44 tahun. 

“Mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki Sport Shogun berada di belakang sebuah kenderaan menghala ke Jertih, bagaimanapun kereta di depannya dikatakan memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada kereta Proton Wira itu memasuki simpang. 

“Mangsa mungkin tidak menyedari kenderaan itu berhenti dan meneruskan perjalanan menyebabkan dia merempuh sisi kiri kereta Proton Wira yang sedang membelok,” katanya. 

Kamaruddin berkata, berikutan pelanggaran berkenaan, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk dan terpelanting manakala kereta tersebut kemek pada sebelah kiri. 

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut dan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian berikutan pendarahan serius dalam perut. 

Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan ketika kejadian kenderaan di kawasan berkenaan dikatakan agak sesak. 

Kamaruddin berkata, Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 



“Tidak perlu pergi klinik, saya sudah hendak mati”

“ARWAH ada mengadu bahawa dia berasa letih dan tidak berdaya untuk pergi ke majlis penerimaan 'pen drive' di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong kelmarin tetapi dia gagahkan juga hadir ke majlis itu bagi meraikannya bersama rakan setugas,” demikian kata Fairuz Ismail, 39, isteri mangsa. 

Fairuz berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang dekat Tembila itu kira-kira jam 10 pagi pada hari kejadian. 

Menurutnya, pada pagi itu suaminya memberitahu tidak sedap badan, bagaimanapun dia tetap pergi ke majlis tersebut. 

“Dia memberitahu saya akan menunggang motosikal bagi mengelak kesesakan lalu lintas berikutan lebih 3,000 guru daerah ini akan ke majlis itu,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila. 

Fairuz berkata, pada hari itu dia tidak pergi bersama suaminya kerana terbabit dengan mesyuarat pemarkahan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di SMK Tengku Mahmud dekat Kampung Alor Lintang yang dijadualkan berakhir semalam. 

Menurutnya, ketika bermesyuarat, seorang rakan menghubunginya kira-kira jam 2.15 petang memberitahu ada kemalangan membabitkan penunggang motosikal. 

“Rakan saya memberitahu bahawa dia seakan pernah terlihat individu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. 

“Justeru, dia bertanya mengenai kenderaan dan warna baju suami saya lalu saya memberitahunya. Dia berkata individu yang kemalangan itu memang suami saya,” katanya. 

Ibu kepada tiga anak berumur 4 hingga 14 tahun ini berkata, terkejut dengan kejadian itu dia terus bergegas ke Bahagian Kecemasan Hospital Besut dan melihat keadaan suaminya yang ketika itu mengerang kesakitan. 

Katanya, suaminya tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian luar anggota badan kecuali patah satu jari kelengkengnya tetapi dikatakan mengalami kecederaan dalaman serius. 

“Dia meninggal dunia di sisi saya kira-kira jam 4.45 petang,” katanya sedih. 

Fairuz berkata, arwah suaminya menunjukkan perubahan ketara sejak sebulan lalu iaitu berubah menjadi pendiam dan kurang bergurau dengan anak. 

“Dahulu, dia suka bergurau terutama dengan anak tetapi sejak belakangan ini dia lebih pendiam dan sebulan lalu ketika saya meminta dia ke klinik untuk merawat batuknya, dia kata tidak perlu ke klinik kerana dia sudah hendak mati. 

“Saya tidak ambil berat katanya itu kerana ingatkan dia hanya bergurau,” katanya. 

Sementara itu, jenazah Ahmad Rushdan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kenjing dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pelagat kira-kira jam 11 pagi semalam. 

Bapa mangsa, Jusoh Ali, 68, ialah Ahli Jawatankuasa Pas Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jertih. 



Fairuz kesal beg duit suami dicuri

FAIRUZ kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab tergamak mencuri beg duit ketika suaminya kesakitan sebaik sahaja berlanggar dengan kereta, kelmarin. 

Fairuz berkata, beg duit suaminya yang mengandungi sejumlah tunai, dokumen penting lain seperti kad pengenalan, kad kredit dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai dicuri daripada seluar suaminya sebaik sahaja kejadian berlaku. 

Menurutnya, dalam keadaan kecemasan begitu, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku beriku-tan siasatan kemalangan dan urusan berkaitan akan menimbulkan sedikit kesukaran kerana tiada kad pengenalan sebagai rujukan. 

“Saya bukannya sayangkan duit yang ada dalam beg itu tetapi sikap pihak tidak bertanggungjawab amat dikesali kerana suami saya dikatakan mengadu kesakitan sebaik sahaja berlanggar dengan kenderaan berkenaan,” katanya. 

Fairuz berkata, selain tunai terdapat empat kad ATM dan satu kad kredit dalam beg suaminya.

No comments:

Post a Comment