Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Tentera rejim Israel didakwa mendera, seksa tahanan Palestin



BAITULMAQDIS 2 Nov. – Perkhidmatan keselamatan dalaman Israel didapati telah mencabul hak tahanan Palestin, kata dua kumpulan hak asasi manusia terkenal Israel dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu menyatakan, rakyat Palestin yang ditahan, ditempatkan dalam penjara yang sesak, kotor, dengan sebahagian bilik penjara tidak mempunyai tingkap dan dipasang lampu yang mengganggu tidur.
Menurut laporan itu lagi, ejen keselamatan turut mengikat tahanan pada kerusi semasa proses soal siasat yang panjang, malah kadang-kala turut melanggar undang-undang rejim Yahudi sendiri dengan menghina, mengugut serta memukul tahanan.
Kementerian Keadilan Israel menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan prosedurnya menghormati undang-undang sambil cuba menghalang serangan pejuang terhadap rakyat Israel.
Laporan itu dikeluarkan hasil keterangan 121 rakyat Palestin yang ditahan di sebuah pusat tahanan di bandar Petah Tikva pada 2009.
Laporan yang disediakan oleh kumpulan hak asasi B’Tselem dan Hamoked turut mendakwa, keadaan di pusat tahanan tersebut sebagai ‘kejam, tidak berperikemanusiaan, penuh layanan buruk dan turut melibatkan penyeksaan’.
Kata laporan tersebut, tahanan akan ditahan di Tebing Barat atas dakwaan keselamatan sebelum dibawa ke pusat itu selama satu hingga dua minggu.
Tahanan berkata, mereka ditempatkan di bilik penjara kecil dengan sebahagiannya hanya dilengkapi tandas serta tilam yang kotor.
Sebahagian tahanan mendedahkan, tentera Israel turut menyalurkan udara panas atau sejuk ke bilik tahanan, mengakibatkan mereka sukar tidur.
Satu pertiga daripada tahanan berkata, penyiasat menghina, mengugut atau memberi tekanan kepada mereka dengan mengancam ahli keluarga, sementara sembilan peratus daripada tahanan mendedahkan, penyiasat turut memukul, menolak atau menarik tubuh mereka dengan kuat.
Laporan itu turut menyatakan, rakyat Palestin pernah mengemukakan 645 aduan kepada Jabatan Keadilan Israel tentang teknik soal siasat sejak 2001, namun tiada satu pun daripadanya disiasat. – AP

No comments:

Post a Comment