Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Teguk arak sejak umur 14 tahun



DUNGUN – “Saya mula mengambil minuman haram ini sejak umur 14 tahun lagi, tekanan jiwa serta masalah keluarga mendorong saya membuat keputusan itu.

"Bapa dan ibu saya, kedua-duanya penagih dadah, jadi siapa lagi yang akan membimbing saya ke arah jalan yang benar?"

Demikian pengakuan seorang gadis 18 tahun yang dicekup polis ketika berada bersama sekumpulan rakannya yang juga penagih dadah di sebuah rumah di Kampung Cacar Baru, dekat sini, awal bulan lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu yang meluahkan perasaannya kepada wartawan Sinar Harian ketika ditemui di Balai Polis Paka berkata, akibat masalah keluarga, dia hilang arah dan mula terjebak dengan gejala sosial pada umur awal belasan tahun lagi.

Gadis bertubuh genit itu menceritakan, akibat masalah keluarga, dia kemudiannya mencari jalan keluar dengan melakukan aktiviti menyeronokkan bersama rakan sebaya, biarpun menyedari perbuatan itu melanggar batas agama.

“Saya mula mengambil minuman keras sejak umur 14 tahun ketika di sekolah menengah lagi, minuman itu saya beli di kedai berdekatan dan meneguknya di ceruk semak atau ketika berhibur pada malam hari di pusat hiburan berdekatan bersama rakan.

“Kalau ibu bapa saya dapat hidu tembelang saya, mungkin dia marah, tetapi mereka apa kurangnya sebab mereka juga mengambil dadah,” katanya.

Menurutnya yang hanya ingin dikenal sebagai Nadia, dia semakin hilang arah sejak bapanya meninggal dunia hampir setahun lalu, dipercayai dijangkiti HIV.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, seks bebas dan minuman keras serta dadah yang diambilnya sekali-sekala merupakan perkara biasa baginya, apatah lagi kebanyakan rakannya penagih yang mengamalkan gaya hidup serupa.

“Sejak bapa saya meninggal November tahun lalu, ibu saya yang juga bekas Orang Dalam Pengawasan Polis kerana terbabit dengan kesalahan dadah terpaksa menyara keluarga dengan bekerja di pusat karaoke.

“Jika saya ingin kembali ke pangkal jalan, siapa yang akan membimbing saya? Semua memandang rendah pada saya, sebab itu saya makin hanyut," katanya.

Bagaimanapun dia yang pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini dipercayai kerana kesalahan dadah masih belum meninggalkan tabiat buruk itu.

Kali terakhir dia ditahan bersama beberapa lagi rakannya yang lain dalam serbuan polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, dekat sini, ialah petang kelmarin.

Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methapethamine dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan terbabit berkata, pihaknya kini giat memburu individu yang disyaki terlibat dengan pengedaran atau pengambilan dadah.

“Kejayaan tangkapan serta rampasan barang kes berkaitan dadah menggambarkan kita benar-benar serius menguatkuasakan undang-undang menangani gejala yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat hari ini,” katanya

No comments:

Post a Comment