Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Taktik penyeludup rokok upah budak tumpas


KOTA KINABALU 14 Nov. - Taktik penyeludup rokok yang mengambil kesempatan cuaca buruk untuk mengupah kanak-kanak sebagai pemandu bot bagi mengaburi mata penguatkuasa tumpas apabila berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Marin (PGM) dalam satu operasi di Pantai Kuala Putatan baru-baru ini.
Pegawai Pemerintah PGM Kota Kinabalu, Asisten Supritendan Mohd. Aris Jambul berkata, dalam serbuan pukul 1.10 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 12 hingga 21 tahun diberkas bersama barang seludup.
"Polis terpaksa bersembunyi empat jam lebih awal di kawasan sasaran bagi mengelak kehadiran disedari oleh tonto-tonto yang diupah penyeludup.
"Serbuan dilakukan sebaik tiga lelaki berkenaan mula memunggah kotak-kotak rokok dari bot ke dalam kereta yang dinaiki oleh dua daripada tiga suspek," katanya ketika ditemui di Pangkalan PGM Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dibuat terhadap bot dan kenderaan tersebut, PGM berjaya menemui 3,700 kotak rokok 'Premium Gold' dan 3,200 lagi rokok jenis 'LA'.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mereka kini lebih berani kerana menyangkakan pihak berkuasa tidak akan menjalankan operasi ketika cuaca buruk.
Tambahnya lagi, kanak-kanak digunakan bagi mengaburi mata penguat kuasa dan orang ramai, selain berharap akan timbul belas kasihan di kalangan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Mohd. Aris berkata, kanak-kanak tersebut dibayar upah RM15 untuk membawa masuk rokok berkenaan yang dipercayai diseludup dari Pulau Mangsi, Filipina.
Katanya, semua barang rampasan termasuk kereta dan bot terbabit bernilai kira-kira RM60,000.
Sementara itu, Aris memberitahu sebanyak 10 kes yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam berjaya diselesaikan oleh PGM sepanjang Januari hingga November tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan RM474,760.
"PGM ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat awam kerana sentiasa bekerjasama dalam menyalurkan sesuatu maklumat mengenai penyeludupan dan kami juga harap agar kerjasama ini berterusan pada masa akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment