Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Tahanan rumah tamat hari ini


ANGGOTA NLD berkumpul di ibu pejabat parti itu di Yangon, semalam, dalam persediaan untuk meraikan Suu Kyi yang bakal dibebaskan beberapa hari lagi. – AP


YANGON 12 Nov. – Junta tentera Myanmar dilaporkan sudah menandatangani arahan supaya pemimpin pembangkang prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dibebaskan daripada tahanan di rumah.
Naib Pengerusi Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi, Tin Oo berkata, sumber memberitahu beliau bahawa arahan pembebasan sudah ditandatangani.
Tin Oo tidak menyebut bila wanita ikon demokrasi Myanmar itu akan dibebaskan atau bila arahan tersebut ditandatangani.
Sebelum itu sumber kerajaan berkata, Suu Kyi ‘sudah pasti’ dibebaskan dalam masa beberapa hari lagi.
“Pihak berkuasa akan membebaskannya. Perkara ini sudah pasti,” kata seorang pegawai kerajaan hari ini, sehari selepas mahkamah menolak rayuan terakhir wanita itu terhadap hukuman tambahan tahanan di rumah selama 18 bulan yang dikenakan ke atasnya pada Ogos tahun lalu.
Para peguam bagi Suu Kyi, 65, bagaimanapun berkata, hukuman tahanan di rumah ke atas Suu Kyi bermula dengan beliau dipenjarakan pada 14 Mei tahun lepas dan dengan itu dijadual tamat esok.
“Beliau pasti akan dibebaskan seperti yang dirancang. Kami hanya menunggu masa untuk membebaskannya,” kata seorang lagi pegawai kerajaan.
Tempoh tahanan Suu Kyi dilanjutkan 18 bulan lagi pada Ogos tahun lepas berhubung insiden seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) yang tidak diundang berenang ke rumahnya yang terletak di tepi tasik, menyebabkan beliau tidak dapat menyertai pilihan raya pertama di negara ini dalam tempoh 20 tahun.
“Kami percaya pihak berkuasa akan membebaskan beliau tetapi kami belum mendapat pengesahan.
“Mengikut undang-undang, mereka tidak boleh menahannya lagi. Mereka patut membebaskannya demi kesejahteraan negara,” kata seorang peguam Suu Kyi, Nyan Win.
Penyokong Suu Kyi berkata, beliau akan mengadakan sidang media di ibu pejabat NLD jika dibebaskan, sekali gus membayangkan beliau akan menolak sebarang percubaan pihak berkuasa untuk menyekat aktiviti politiknya.
Sesetengah pemerhati percaya Suu Kyi akan dibebaskan dengan sekatan tertentu bagi memastikan beliau tidak dapat mengancam kedudukan junta, tetapi Nyan Win berkata, Suu Kyi tidak akan menerima sebarang syarat berhubung pembebasannya.
Beberapa anggota pemuda NLD menunggu di depan ibu pejabat NLD hari ini dan penyokong merancang untuk menderma darah di sebuah hospital tempatan sebagai meraikan pembebasan Suu Kyi. – AP/AFP

No comments:

Post a Comment