Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Suami isteri diarah bela diri rompak kamera TV3





2010/11/26

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri pemilik restoran makanan Afrika diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merompak dua kamera milik Stesen TV3, dua tahun lalu. 

Hakim Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu terhadap Elizabeth Sumana De Silva, 44, dan suaminya warga Nigeria, Adeyemi Rasaq Tunde, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Silva dan Adeyemi didakwa bersama-sama lebih kurang 20 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVX 102B milik TV3 yang berada dalam kawalan jurugambar Fauzi Muin, 33.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu turut didakwa bersama 10 orang yang masih bebas, merompak sebuah kamera jenis Panasonic DVC PRO milik stesen itu yang berada dalam kawalan Nor Azman Jumahat, 36. 

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Menara Gading 1, Taman Connaught, Cheras, di sini pada 1.10 pagi, 15 September 2008. 

De Silva, warga Malaysia berketurunan Portugis dan Adeyemi adalah pemilik restoran makanan Afrika di Taman Connaught, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan, jika disabitkan kesalahan. 

Bagaimanapun, Zainal Abidin memerintahkan pertuduhan pertama yang dihadapi De Silva dipinda kepada Seksyen 412 Kanun Keseksaan selain memerintahnya membela diri bagi pertuduhan kedua. 
Adeyemi pula diperintah membela diri bagi pertuduhan pertama dan dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan kedua. 

Zainal Abidin, dalam penghakimannya, berkata pertuduhan pertama yang dihadapi De Silva dipinda kepada Seksyen 412 Kanun Keseksaan atas tuduhan memiliki barang curi kerana berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tiada seorangpun antara mereka yang melihat tertuduh merampas kamera tetapi mereka tidak menafikan tertuduh terbabit. 

"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, terdapat kamera yang disimpan di kaunter pembayaran di restoran milik tertuduh dan tertuduh juga mengakuinya," katanya. 

Bagi pertuduhan kedua yang dihadapi De Silva, Zainal Abidin berkata, saksi pendakwaan dapat mengecam tertuduh yang merampas kamera itu ketika kejadian dan ini menunjukkan dia terbabit dalam kes tersebut. 

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, saksi pendakwaan juga dapat mengecam tertuduh kedua iaitu Adeyemi terbabit dalam kes itu manakala bagi pertuduhan kedua, Adeyemi dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

"Tiada keterangan daripada mana-mana saksi pendakwaan yang dapat mengecam tertuduh terlibat dalam kes ini," katanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli, yang mengemukakan seramai tujuh saksi manakala pasangan itu diwakili peguam Christopher Joseph dan Mohd Aris Abu Bakar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment