Search This Blog

Monday, November 15, 2010

SPRM tubuh pasukan khas siasat kes secara terperinci


SEREMBAN 14 Nov. - Satu pasukan khas telah ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi menyiasat kes mengutip dan menyalahgunakan wang RM660,000 bagi satu majlis mesra Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang tidak dianjurkan.
Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim memberitahu, penubuhan pasukan berkenaan bertujuan untuk menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh dan terperinci.
"Pada masa sama kita juga sedang menyiasat dan menjalankan audit ke atas akaun Kelab Sukan dan Kebajikan JPJ Negeri Sembilan bagi mengetahui ke mana wang berkenaan disalurkan.
"Kita juga berharap mana-mana pihak yang pernah menyumbangkan wang untuk majlis itu supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Hishamuddin, sehingga kini pihak JPJ negeri telah memberi kerjasama sewajarnya termasuk menyerahkan semua dokumen berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Katanya, pihaknya juga telah memperolehi butiran dan dokumen tentang kelab dan program tersebut daripada Pengarah JPJ negeri, Mohd. Kamal Saad yang turut dipanggil memberi keterangan semalam.
"Setakat ini tiada tangkapan baru dan siasatan mengenai kes tersebut masih lagi berjalan," katanya.
Semalam SPRM menahan lima individu termasuk dua kakitangan JPJ negeri ini kerana dituduh meminta dan menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat untuk 'Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan', kononnya bakal diadakan pada 2 Oktober lalu.
Bagaimanapun program berkenaan tidak wujud sama sekali.
Dua kakitangan JPJ yang merupakan seorang pegawai dan kerani masing-masing berusia 45 dan 53 tahun itu telah ditahan reman sehingga 18 November ini bagi meneruskan siasatan.
Tiga lagi individu ditahan berusia 45 hingga 55 tahun, yang bertindak sebagai orang suruhan dan pemungut sumbangan bagi pihak pegawai berkenaan.

No comments:

Post a Comment