Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Siasat syarikat bekal bahan api subsidi





KUALA LUMPUR 26 Nov. - Selepas operasi besar-besaran 'Ops Nano' diadakan di seluruh negara bagi membanteras aktiviti penyelewengan diesel subsidi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat syarikat-syarikat yang diberi lesen untuk membekalkan petrol dan diesel subsidi ini kepada stesen-stesen minyak khususnya di luar bandar.
Menurut sumber, ini kerana, ada di antara syarikat-syarikat tersebut dikesan melakukan penyelewengan dengan menjual lebihan kuota petrol dan diesel subsidi kepada pihak industri, orang persendirian malah kepada pengguna dari negara jiran.
Sumber itu memberitahu, dua syarikat yang masing-masing mendapat lesen membekalkan petrol dan diesel subsidi berkenaan terletak di Sabah dan utara tanah air dipercayai terlibat melakukan kegiatan penyelewengan bahan api tersebut.
"Modus operandi syarikat berkenaan ialah menggunakan sepenuhnya kuota bekalan petrol dan diesel walaupun permintaan di kawasan terbabit tidak mencapai kuota yang ditetapkan.
"Lebihan kuota bahan api subsidi yang diberi kepada stesen minyak kecil di luar bandar itu akan dijual ke negara jiran pada harga yang tinggi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Malah, difahamkan, salah sebuah syarikat itu mengaut keuntungan sehingga mencecah RM5 juta setiap bulan hasil daripada penjualan petrol dan diesel berkenaan.
Sehubungan itu, sumber berkenaan meminta SPRM tidak hanya menumpukan siasatan penyelewengan diesel untuk nelayan sahaja sebaliknya turut memberi perhatian kepada syarikat-syarikat yang telah diberi lesen sah oleh kerajaan pada tahun 2006.
"Siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan penting untuk mengelakkan ketirisan dan memastikan bekalan sampai kepada sasaran yang dikehendaki, bukannya disalah guna untuk keuntungan cepat," katanya lagi.
Sumber tersebut turut mencadangkan kerajaan supaya meneliti semula proses pemberian lesen kepada syarikat-syarikat minyak berkenaan untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku.
"Jika perlu ambil tindakan sehingga senarai hitam dan tarik balik lesen mereka. Kerajaan wajar melihat semula sama ada wujud ketirisan atau tidak.
"Agak mengecewakan melihat syarikat-syarikat yang dipertanggungjawab membantu penduduk luar bandar menikmati subsidi kerajaan telah menjadi 'tamak' dan mengaut keuntungan daripada kemudahan yang diberi kerajaan itu dengan cara salah.
"Bayangkan, kuota yang dibenarkan sehingga mencecah 50,000 liter, berapa keuntungan syarikat itu dapat jika bekalan minyak satu kawasan hanya 5,000 liter sahaja," katanya.
Bilangan stesen minyak kecil di seluruh negara yang dikenalpasti menerima diesel dan petrol subsidi ialah tiga di Perlis, Pahang (tiga), Kedah (12), Terengganu (13), Kelantan (14), Pulau Pinang (17) dan Perak (61).

No comments:

Post a Comment