Search This Blog

Wednesday, November 10, 2010

Sembunyi dadah dalam dua beg



AMPANG – Sepasang suami isteri serta dua rakan wanita mereka yang sedang leka berborak, terkejut ketika diserbu polis di sebuah premis dua tingkat di Taman Nirwana, di sini, malam kelmarin. 

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, polis turut menemui lima kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan, masing-masing dua lelaki dan tiga perempuan berumur antara empat dan 12 tahun. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin berkata, pemeriksaan lanjut di tingkat bawah rumah itu menemui pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM150,000 yang disembunyikan di dalam dua beg berasingan. 

“Kami menemui empat paket heroin yang disimpan di dalam sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi logo sebuah premis kedai emas. 

“Di dalam beg berasingan, kami jumpa empat paket dadah jenis syabu seberat 57 gram, 100 biji pil ‘WY’ dan 63 pil erimin 5. Polis kemudiannya merampas dua paket syabu yang disimpan di tingkat atas kediaman itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,000, tiga telefon bimbit, serangkai anak kunci, ‘sealer’ (1) dan dua alat penimbang dipercayai digunakan untuk kerja pembungkusan dadah. 

Amiruddin berkata, ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas suspek lelaki berumur 37 tahun dan dua suspek wanita serta mendapati mereka positif dadah. 

“Berdasarkan semakan, suspek lelaki disahkan memiliki tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan curi. 

”Dia juga didapati aktif melakukan kegiatan haram itu sejak tujuh tahun lalu,” katanya. 

Amiruddin berkata, suspek lelaki dan tiga suspek wanita berumur antara 27 dan 40 tahun itu, direman seminggu sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Katanya, siasatan menjurus pelbagai aspek dijalankan termasuk punca bekalan diperoleh serta pasaran jualan dadah terbabit.

No comments:

Post a Comment