Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Selepas anak, suami dirasuk


KAMPUNG BELIKU – Selepas beberapa hari kejadian ahli keluarga Azmi Ibrahim, 45, dan dua keluarga lain berlari untuk terjun perigi beransur reda, keadaan kembali kecoh kelmarin, apabila tiga anak dan seorang menantu termasuk Azmi sendiri kembali diganggu, didakwa angkara makhluk halus. 

Isteri Azmi, Noraini Mat Ali, 42, berkata, akibat gangguan terbaru itu, keadaan bertambah kelam kabut dan dia sekeluarga tertekan apabila anak, menantu dan suaminya meracau, memekik, mengamuk serta mengadu sakit. 

Menurutnya, dalam kejadian bermula petang kelmarin, anak sulungnya Norafida, 24, yang mempunyai dua anak berusia tiga dan lima tahun pula diganggu, sedangkan sebelum ini dia tidak pernah mengalami keadaan sedemikian, sebaliknya yang sering diganggu adalah Nor Syamira, 14. 

“Paling saya susah hati kerana suami turut ‘terkena’ apabila badannya menjadi lemah dan dia mengadu sakit pada bahagian kaki dari paras lutut ke bawah, iaitu sakit sama seperti ketika anak-anak saya diganggu. 

“Selama ini dia (Azmi) membantu memegang anak-anak yang tidak terkawal dan dirasuk, tetapi sekarang dia juga sudah kena,” katanya. 

Kebetulan, ketika Sinar Harian berkunjung ke rumah Azmi, tiga anaknya sedang diganggu dan seorang telah sedar manakala Azmi pula terbaring tidak bermaya. 

Noraini berkata, keadaan tidak terkawal bermula kira-kira jam 6 petang dan lazimnya berlarutan hingga ke siang hari keesokannya. 

Bagaimanapun, keadaan itu kembali reda pada jam 1 pagi apabila seorang pengamal perubatan Islam, Hussin Hashim, 54, dari Felda Kepis, Bahau, Negeri Sembilan dibantu dua anaknya, merawat mangsa. 

Hussin, seorang nazir sebuah masjid datang dari Bahau ke sini secara sukarela kerana simpati dengan nasib tiga keluarga ini setelah membaca kisah mangsa yang disiarkan Sinar Harian. 

Sementara itu kata Noraini, kejadian kelmarin juga agak teruk apabila anak keempatnya, Nurul Jannah, 18, yang selama ini jika diganggu hanya berdiam diri, kini bertukar agresif. 

“Ketika dirasuk dia akan melakukan aksi seperti orang sedang menyembah dan saat itulah kakak (Norafida, yang mengalami sakit kepala) serta adiknya (Nor Syamira) akan bertambah sakit dan meracau. 

"Malah Norafida akan menghantukkan kepalanya ke dinding rumah,” katanya yang tinggal di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dekat Kampung La, Hulu Besut. 

Menurutnya, sebelum ini, dalam keadaan tidak sedar diri, Nor Syamira pernah cuba memotong kakinya dengan sebilah pisau, namun sempat dirampas bapanya. 

“Kami semua buntu dan amat terjejas dengan kejadian aneh ini kerana di rumah ini perlu ada ramai orang terutama lelaki bagi mengawasi anak-anak saya, termasuk Nor Syamira yang sentiasa mahu lari ke perigi memandangkan mangsa akan mempunyai tenaga luar biasa ketika meronta," katanya.

No comments:

Post a Comment