Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Sayu kumpul cebisan mayat

KULAIJAYA: Walaupun sedih melihat keadaan mayat anak saudaranya berkecai digilis kereta api di Kilometer 733.5 landasan kereta api Johor Bahru-Kulai, Kampung Maju Jaya, Senai di sini, Mohd Yusof Ismail, 40, menguatkan hati apabila turut serta mengumpul cebisan badan mangsa yang bertaburan.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, anak saudaranya, Mohamad Syaril Basseri, 18, dan rakan, Johari Jumbery, 31, maut di lokasi kejadian selepas digilis kereta api.

Yusof hanya dapat mengecam dan membezakan cebisan mayat Mohamad Syaril berpandukan susuk badannya yang kurus berbanding Johari yang agak berisi berikutan keadaan mayat mangsa hancur selain baju dipakai koyak-rabak.

“Walaupun lokasi kemalangan hanya 10 meter di belakang rumah, saya hanya mengetahui berkaitan kejadian selepas didatangi anggota polis meminta mengesahkan Syaril adalah anak saudara saya berdasarkan kad pengenalan ditemui.

“Selepas mengesahkannya, saya terus berlari ke arah landasan kereta api untuk mengetahui keadaan sebenar sebelum bersama-sama dengan yang lain mengutip cebisan badannya,” katanya.

Terdahulu, sebelum kejadian mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam dengan alasan menemui rakan sekerja yang tinggal di rumah bersebelahan.

“Kami menyangka dia akan pulang seperti biasa, bagaimanapun kira-kira jam 1 pagi, anak saya mengetuk pintu bilik dan memaklumkan orang ramai dan polis berkumpul di belakang rumah.

“Beberapa minit kemudian seorang anggota polis datang sambil menunjukkan kad pengenalan milik Syaril dan menceritakan kejadian, saya bagai tidak percaya itu adalah anak saudara saya.

“Memang sedih apabila melihat anggota badannya seperti tangan dan kaki terputus manakala sebahagian kepala juga pecah menyebabkan serpihan otak kelihatan seperti tauhu bertaburan di sekitar landasan,” katanya.

Mangsa sebelum ini jarang menggunakan landasan, bagaimanapun seminggu sebelum kejadian kedua-dua rakan karib itu dilihat kerap melalui jalan sama untuk pulang ke rumah.

Sementara itu adik Johari, Sariah, 25, mengatakan dia terkilan dengan pemergian abangnya berikutan berlaku selisih faham antara mereka baru-baru ini.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu jam 3 pagi semalam selepas dimaklumkan adik yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Memang sedih kerana sejak berselisih faham, kami tidak lagi bercakap dan kali terakhir saya melihat abang sehari sebelum kejadian yang ketika itu sedang membeli bakso di gerai.

“Kami berselisih di jalan dan dia yang menyedari kehadiran saya kemudian membuka ruang untuk lalu sambil menundukkan kepala sambil mendiamkan diri,” katanya.

Sariah berkata, sebelum kejadian abangnya berkelakuan pelik apabila dia yang sebelum ini jarang bercakap dengan adik-beradik lain bersikap peramah serta ceria.

“Menurut adik yang tinggal serumah dengan abang, dia bukan saja ceria dan membelanja mereka makan malah turut membelikan kad tambah nilai prabayar,” katanya.

Sariah juga tidak dapat menahan kesedihan selepas dimaklumkan kepala, tangan dan kaki mangsa terputus manakala beberapa bahagian badan Johari yang lain dikatakan masih belum ditemui.

Satu daripada kaki Johari pula ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulaijaya (HK) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga petang semalam bagi urusan pengebumian.

No comments:

Post a Comment