Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Sarjan TUDM ditahan semula





Anggota provos Marsyal Tentera Udara mengiringi Tharmendran semasa ditahan sejurus selepas perbicaraan kes melibatkan kehilangan enjin pesawat TUDM di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 25 Nov. – Tidak sampai tiga bulan selepas Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memilih untuk dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000, dia hari ini ditahan semula oleh TUDM atas kesalahan meninggalkan tugas.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi ini, Tharmendran ditahan oleh lima anggota Jabatanarah Provos Marsyal TUDM di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini.
Dia yang baru sahaja selesai mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi bagi permohonan menggugurkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin jet dilihat tergamam apabila keretanya tiba-tiba dihalang oleh dua kenderaan TUDM.
Pasukan TUDM berpakaian seragam yang diketuai oleh Provos Marsyal TUDM Leftenan Kolonel Mohd. Razif Ramli segera menghampiri Tharmendran sambil menunjukkan waran tangkap terhadapnya.
Walaupun beberapa kali diarah keluar dari kereta untuk menyerah diri, Tharmendran, 42, yang ditemani bapanya, N. Nagarajah, 71, enggan berbuat demikian. Dia turut dilihat segera menghubungi peguamnya, N. Surendran.
Keadaan menjadi tegang apabila Surendran yang datang secara tergesa-gesa mempersoalkan penahanan yang didakwa tidak sah dengan alasan anak guamnya bukan lagi anggota TUDM.
Selepas hampir 20 minit bertegang urat, peguam itu akhirnya bersetuju menyerahkan anak guamnya secara protes setelah Mohd. Razif memberi jaminan bahawa beliau akan diberi akses melawat Tharmendran pada bila-bila masa.
Mohd. Razif turut memberi jaminan bahawa dua pegawai TUDM yang dikatakan pernah mendera Tharmendran iaitu Mejar Ismail Omar dan Mejar Norazan Md. Amin tidak akan dibenar mendekati lelaki itu.
Suasana bertukar agak sayu apabila Tharmendran dilihat menyapu air mata dan berkata sesuatu kepada Nagarajah ketika menyerahkan barang-barang peribadi seperti beg duit, jam tangan dan kunci kereta kepada bapanya.
Sebaik sahaja keluar daripada kereta, dia dibawa menaiki van TUDM bersama lima anggota pasukan itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan perubatan sebelum ditahan di Pusat Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh di ibu negara.
Surendran yang sempat memberitahu para petugas media tentang hasrat untuk memfailkan habeas corpus, saman dan notis penghinaan mahkamah terhadap penahanan itu kemudiannya dilihat meninggalkan mahkamah bersama Nagarajah.
Sementara itu, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Tharmendran ditahan mengikut Seksyen 54 Akta Tentera Malaysia 1972 atas kesalahan meninggalkan tugas.
Penahanan itu merupakan prosedur penguatkuasaan biasa terhadap anggota yang meninggalkan tugas tanpa notis termasuk tertuduh kerana dia masih berada dalam perkhidmatan TUDM serta tertakluk kepada undang-undang tentera.
Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi pada 30 April 2008.
Sementara itu, permohonan Tharmendran untuk menggantung atau membatalkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat yang dihadapinya akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Disember ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pemohon dan responden selesai berhujah.

No comments:

Post a Comment