Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Saman warga Finland ditolak


JOHANNES JARVA


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Saman fitnah RM27 juta oleh seorang pengurus pemasaran terhadap 11 defendan daripada syarikat akhbar yang mengaitkannya dengan laporan kes pembunuhan Noritta Samsuddin ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Lau Bee Lan turut memerintahkan agar plaintif, Mikko Kauko Johannes Jarva, 35, membayar kos berjumlah RM150,000 kepada semua defendan.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati bahawa kesemua 11 artikel yang tersiar di akhbar-akhbar pihak defendan tidak mempunyai unsur fitnah manakala gambar-gambarnya yang dipaparkan pula bukan lagi hak peribadinya.
Pada 9 April 2004, Jarva memfailkan saman terhadap The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd. (NSTP); akhbar New Straits Times (NST) dan bekas Ketua Pengarangnya, Tan Sri Abdullah Ahmad; akhbar Berita Harianserta bekas Ketua Pengarangnya, Datuk Hishamuddin Aun; sebagai defendan.
Turut disenaraikan sebagai defendan ialah bekas pengarang akhbar The Malay Mail, Datuk Ahiruddin Atan; dan bekas pengarang akhbar Harian Metro, Mohd. Zian Johari selain Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) serta bekas Ketua Pengarangnya, Datuk Khalid Mohd.
Pada prosiding hari ini, UMMB dan Khalid diwakili peguam, Mohana Kumar manakala kesemua akhbar dan bekas ketua pengarang di bawah Kumpulan NSTP diwakili oleh peguam Nad Segaram.
Dalam pernyataan tuntutannya, Jarva mendakwa, dia ditahan polis pada Disember 2003 berhubung penyiasatan terhadap pembunuhan Noritta dan diletakkan dalam tahanan sebelum direman di Balai Polis Brickfields.
Plaintif berkata, sepanjang tempoh itu beliau bertegas menyatakan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun, dia mendakwa, kesemua defendan tanpa mempedulikan dirinya tidak bersalah berhubung dakwaan itu, telah menerbitkan atau menyebabkan penyiaran gambar serta menulis cerita yang mengaitkan dirinya secara langsung.
Jarva berkata, penerbitan itu adalah tidak benar, palsu dan menyakitkan hati kerana dia akhirnya tidak didakwa polis dan pada peringkat berkenaan, identiti dirinya sepatutnya dilindungi oleh kesemua defendan.
Turut memfailkan saman terhadap kesemua defendan ialah broker saham, Shahfrul Azrin Azman yang juga dikaitkan dengan kes itu.
Bagaimanapun, pada 23 Mac lalu, broker saham itu menarik semula saman fitnah RM6 juta terhadap UMMB dan Khalid selepas dia bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Butiran penyelesaian tersebut bagaimanapun tidak didedahkan.
Pada 21 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail menolak dengan kos saman broker itu terhadap syarikat akhbar Kumpulan NSTP dan enam lagi defendan.
Terdahulu ketika menyampaikan penghakimannya, Hakim Bee Lan menyatakan, dalam perenggan-perenggan yang dikatakan sebagai fitnah oleh plaintif, mahkamah mendapati tiada satu pun perkataan yang daring (amat berani) yang boleh merendahkan reputasi Jarva.
Sebaliknya, kesemua artikel tersebut hanyalah menyentuh mengenai siasatan pihak polis dan suspek-suspek yang ditahan dalam kes terbabit serta kapsyen gambar hanya merujuk bahawa dia merupakan antara suspek dalam kes pembunuhan Noritta dan bukannya pembunuh mangsa.
Berhubung penyiaran gambarnya pula, hakim itu menyatakan, perlindungan hak peribadi tidak lagi wujud kerana dia telah dibawa ke mahkamah dan perintah reman telah dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment