Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Saifulruddin diarah cuti sebulan


SHAH ALAM 14 Nov. – Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd. Saifulruddin Sulaiman diarah mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta-merta berikutan kontroversi membabitkan perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang berjumlah RM300,000.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas siasatan awal yang dijalankan pihaknya menunjukkan terdapat penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar dalam membuat keputusan itu.
“Arahan bercuti itu adalah bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini petang ini.
Kontroversi perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor berjumlah RM300,000 yang didakwa tidak munasabah mula dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor minggu lalu.
Isu tersebut turut menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan membatalkan keberangkatan baginda ke majlis sambutan itu.
Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar pula mendakwa sebenarnya Yayasan Selangor membelanjakan lebih daripada RM800,000 untuk majlis itu.
Dalam isu berasingan kata Abdul Khalid, kerajaan negeri turut memutuskan untuk membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kata beliau, ini berikutan dakwaan yang dibangkitkan berhubung urus tadbir PKNS yang melibatkan Jabatan Perhubungan Awam anak syarikat kerajaan negeri itu.
Tambah beliau, pembekuan jabatan itu akan berlangsung sehingga laporan penuh audit selesai akhir bulan ini.
“Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.
“Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan.
“Jabatan Perhubungan Awam PKNS dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan,” kata beliau.
Pada 10 November lalu, Badan Perhubungan Pas Selangor mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap Pengurus Besar PKNS, Othman Omar jika dakwaan salah laku dan salah guna kuasa melibat beliau dan pengurusannya didapati benar.

No comments:

Post a Comment