Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Remaja sembunyi sejam




KOTA BHARU – Gara-gara takut ditangkap penduduk selepas cubaan mencuri tidak menjadi, seorang remaja sanggup bersembunyi dalam semak selama satu jam di Kampung Beris Jawi, malam kelmarin. 

Remaja yang dipercayai berusia 14 tahun itu di tahan oleh penduduk setempat apabila cubaannya bersama seorang rakan tidak kesampaian apabila pemilik rumah menyedari tindakan mereka. 

Pemilik rumah, Mohd Noor Husin, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga orang anaknya sedang menonton televisyen dan bertindak selepas mendengar bunyi dari luar rumah. 

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dia terdengar bunyi dan menyangka ianya bunyi kucing tetapi terkejut apabila melihat kelibat manusia di luar rumahnya. 

“Ketika itu, saya membawa sebatang kayu dan menyergah suspek tetapi kedua-dua mereka sempat melarikan diri. 

“Saya sempat melihat kedua-dua suspek berlari ke arah yang bertentangan di antara satu sama lain dan tidak sempat mengejar mereka,” katanya yang juga mempunyai kedai tayar berdekatan dengan rumahnya. 

Menurutnya, ketika rakan suspek melarikan diri, dia dipercayai terlibat dalam kemalangan kecil ketika dilanggar kereta di hadapan rumahnya dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Mohd Noor berkata, selepas kejadian, dia meminta bantuan dari penduduk setempat untuk mencari kedua-dua suspek dan satu jam kemudian mereka hanya menemui salah seorang daripadanya bersembunyi dalam semak lebih kurang 100 meter dari rumahnya. 

Suspek kemudiannya di bawa ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut dan beliau berkata, remaja itu dipercayai terlibat dengan kes dadah. 

Beliau berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut lagi berhubung kes tersebut.

No comments:

Post a Comment