Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Presiden Korea Selatan dikecam





2010/11/26

SERPIHAN peluru yang dilepaskan Korea Utara dijumpai di Pulau Yeonpyeong diletakkan di atas meja ketika mesyuarat pembuat dasar di Seoul, semalam.
SERPIHAN peluru yang dilepaskan Korea Utara dijumpai di Pulau Yeonpyeong diletakkan di atas meja ketika mesyuarat pembuat dasar di Seoul, semalam.
Tindak balas bedilan Pyongyang terlalu lembut

SEOUL: Parti memerintah Korea Selatan semalam mengecam kerajaan dan tentera negara itu kerana bertindak balas terlalu lembut terhadap bedilan Korea Utara yang membunuh empat orang, termasuk dua orang awam Selasa lalu. 

Kecaman paling pedas ditujukan kepada Presiden Lee Myung-Bak kerana membuat kenyataan pihaknya mahu mengelakkan ‘perang besar-besaran’ sejurus selepas pulau kecil Korea Selatan dibedil Pyongyang.
Walaupun kenyataan itu ditarik balik kemudian, ia sudah terlalu lambat dan anggota parti pimpinan Presiden sendiri, Grand National Party (GNP) mengutuk beliau kerana membuat kenyataan lembut itu.
“Biar saya berkata sesuatu kepada si bodoh di Rumah Biru (pejabat presiden) yang menasihatkan presiden membuat kenyataan itu,” Ahli Parlimen GNP, Hong Sa-Duk dipetik sebagai berkata oleh akhbar harian JoongAng semalam. 

“Mereka semua harus dipecat kerana memberi nasihat kepada presiden supaya membuat kenyataan lembut terhadap tindakan Korea Utara.” 

Insiden Selasa lalu adalah krisis sempadan kedua dihadapi Lee dalam tempoh kurang lapan bulan selepas pengeboman kapal perang Korea Selatan Mac lalu yang didakwa dilakukan Pyongyang. 

Lee mendapat sokongan masyarakat tempatan dan antarabangsa dalam menangani insiden Mac itu yang menyebabkan kematian 46 tentera laut Korea Selatan, tetapi serangan terbaru – bedilan pertama terhadap sasaran orang awam Korea Selatan sejak perang 1950-53 – mencetuskan lebih banyak kemarahan di kalangan rakyat negara itu. 
Tentera Korea Selatan bertindak balas dengan melepaskan 80 bedilan ke arah Korea Utara, tetapi ahli parlimen kelmarin mempersoalkan kenapa menteri pertahanan Kim Tae-Young tidak bertindak balas lebih keras. 

“Jika kita menggunakan keupayaan tentera udara kita untuk menghapuskan artileri Korea Utara tidak mungkin akan ada serangan kedua dari utara,” kata Ahli Parlimen GNP Chung Mi-Kyung, merujuk kepada tempoh masa di antara beberapa peringkat bedilan yang dibuat Pyongyang. 

Beliau juga mengecam tentera Korea Selatan kerana hanya melepaskan 80 bedilan yang tidak diketahui kesan terhadap sasarannya 10 minit selepas bedilan utara. 
Kim berkata: “Jika kita menggunakan kekuatan tentera udara kita, Pyongyang mungkin tidak dapat melancarkan bedilan selanjutnya. Namun ia mungkin membawa kepada perang besar-besaran.” 

Bagaimanapun akhbar tempatan tetap mengecam tindak balas Seoul. Akhbar harian JoongAng dalam lidah pengarangnya berkata: “Masalah kita ialah tindak balas lemah kita.” 

Akhbar Chosun Ilbo berkata Seoul harus menghentikan kitaran di mana utara membuat provokasi dan selatan tidak tahu bagaimana untuk membalas. 

Pejabat presiden Korea Selatan semalam, mengumumkan langkah mengukuhkan kedudukan pertahanan di lima pulaunya yang bersempadan dengan Korea Utara, namun Pyongyang berkata ia bersedia untuk melancarkan serangan lagi jika Seoul meneruskan ‘provokasi ketenteraan.’ – AFP/AP

No comments:

Post a Comment