Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Polis tahan 4 lelaki curi komponen cip elektronik RM2.7 juta





2010/11/26

IPOH: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen pembuat cip elektronik yang diimport dari Taiwan dan Amerika Syarikat bernilai RM2.7 juta yang dilaporkan hilang pada 12 Ogos lalu. 

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata keempat-empat lelaki berusia antara 30 hingga 36 tahun itu ditahan pada Ahad dan Isnin lalu di sekitar bandar raya ini hasil maklumat orang awam.
"Susulan tangkapan lelaki berkenaan, polis menemui semua komponen berkenaan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Ringan, Silibin, di sini," katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan sempena pertukaran Ketua Polis Perak, di sini hari ini.
Zulkifli akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 1 Disember ini dan tempatnya akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof. 

Kehilangan komponen itu dilaporkan sebuah syarikat pengangkutan di sini ketika ia dibawa sebuah treler dari Gudang Kargo KLIA di Sepang ke Ipoh. 

Zulkifli berkata, siasatan mendapati seorang lelaki, yang juga pemandu treler berkenaan, telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan bertanggungjawab membawa komponen itu ke sini. 

Beliau berkata, seorang daripada empat lelaki itu mempunyai kes membabitkan kesalahan mencuri, menipu, pecah amanah, samun dan kesalahan mengikut Akta Senjata Api (Hukuman Berat) yang dilaporkan di negeri ini, Selangor, dan Kuala Lumpur. 
Mereka ditahan reman sejak ditahan sehingga esok. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh pembawa barang) yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda sekiranya disabitkan kesalahan. 

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai dapat membantu kes pembunuhan seorang peguam di sini. 

Katanya, suspek berusia 35 tahun itu ditahan semalam di sebuah rumah di sini dan setakat ini tujuh suspek ditahan, katanya. 

"Suspek itu direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya. 

Pada 16 November lalu, peguam G Balasunderam, 57, diserang dua lelaki bertopeng ketika turun dari kereta di hadapan rumahnya dai Taman Desa Rishah, Buntung di sini dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 9 malam hari yang sama. 

Susulan kes pembunuhan itu, polis memberkas enam lelaki berusia 21 hingga 30 tahun pada Isnin lepas di sebuah hotel di Menglembu. 

Zulkifli berkata, dengan penangkapan tujuh lelaki itu polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam waktu terdekat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment