Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Polis dirempuh Mat Rempit

AMPANG: Seorang anggota polis trafik cedera di kepala selepas dirempuh seorang Mat Rempit ketika sedang melakukan operasi cegah samseng jalanan di Jalan Taman Putra, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, Lans Koperal Henry Gregory, 32, dari Balai Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, bersama lima anggota lain menjalankan tugas rutin memantau dan mengesan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dan memandu secara melulu di taman perumahan berkenaan.

Ketika sedang menjalankan pemeriksaan tiba-tiba muncul sekumpulan Mat Rempit menunggang kira-kira 10 motosikal melalui jalan berkenaan. Apabila melihat kehadiran polis, mereka menjadi kelam-kabut untuk melarikan diri hingga seorang daripada mereka meluru laju merempuh mangsa hingga menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan.

Menurut Henry, penunggang terbabit dipercayai memecut untuk meloloskan diri dan nekad merempuhnya yang ketika itu berdiri di bahu jalan. “Selepas tercampak, saya bangun ke pembahagi jalan bagi mengelakkan diri daripada dirempuh kenderaan lain.

“Kejadian ini adalah kali pertama saya alami, namun ia tidak akan mematahkan semangat saya dalam membanteras aktiviti samseng jalanan ini,” katanya.

Akibat rempuhan itu, Henry cedera di kepala dan kaki kanan diberikan rawatan oleh anggota paramedik Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang tiba di lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu manakala penunggang motosikal yang merempuh mangsa dapat meloloskan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata kejadian itu tidak akan melemahkan semangat anggota trafik untuk terus menjalankan operasi membanteras lumba haram.

No comments:

Post a Comment