Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Penjenayah bersenjata parang rompak stesen minyak


KUANTAN 12 Nov. - Seorang pengawal keselamatan menggigil ketakutan setelah lehernya diacu sebilah parang dalam kejadian samun melibat kerugian kira-kira RM15,000 di stesen minyak milik sebuah koperasi Felda di Bukit Damar dekat Lanchang di sini awal pagi semalam.
Kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika mangsa yang berusia 55 tahun bertugas sendirian selepas stesen minyak itu ditutup operasinya oleh pemiliknya.
Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa tiba-tiba dikejutkan dengan kemunculan tiga suspek lelaki bertopeng bersenjatakan parang.
Menurut beliau, salah seorang suspek meluru ke arahnya sambil mengacukan parang ke leher mangsa.
"Mangsa yang ketakutan itu tidak berbuat apa-apa selain membiarkan sahaja suspek mengumpil tingkap pejabat stesen minyak itu.
"Suspek kemudian bertindak menggeledah stesen minyak terbabit sebelum melarikan beberapa barang seperti komputer riba, pelbagai jenama rokok dan sedikit wang tunai," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Berikutan kejadian itu, kata Noor Asyikin, pengawal tersebut tidak mengalami kecederaan namun jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM15,000.
Menurut beliau, pihak koperasi berkenaan membuat laporan polis sejurus selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, ujarnya.

No comments:

Post a Comment