Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Penipu Internet

SEREMBAN: Orang ramai diminta berwaspada dengan sindiket penipuan dipercayai didalangi warga asing yang cuba memperdayakan mangsa menggunakan taktik meminta ribuan ringgit untuk memproses transaksi urusan jual beli barangan melalui Internet.
Difahamkan, sindiket licik yang mendakwa menetap di luar negara itu menyasarkan mangsa yang mengiklankan penjualan barang di Internet.

Mangsa kemudian menerima e-mel daripada sindiket yang kononnya bersetuju membeli barangan berkenaan melalui pembayaran secara dalam talian (online) dan meminta mangsa membuka akaun dalam satu sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.

Sejurus mangsa menghantar e-mel tuntutan melalui sistem itu, maklum balas diberikan ahli sindiket menyatakan transaksi pembayaran sudah dibuat melebihi harga barangan dijual. Melalui emel itu, transaksi perlu terlebih dulu menggunakan pihak ketiga iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di luar negara dan mangsa diminta menjelaskan bayaran ribuan ringgit ke dalam akaun diberikan melalui satu ‘sistem penghantaran wang keluar negara’ sebelum diluluskan.

Bagaimanapun, apabila diperiksa, mangsa dimaklumkan pihak berkaitan bahawa perkara itu palsu.

Ini didedahkan penjawat awam yang nyaris menjadi mangsa, kelmarin.

Mohd Hanafi Abd Rahim, 33, ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, perkara itu dikesan sejurus mengiklankan set perabot kerusi jati miliknya yang mahu dijual dengan harga RM2,300 di sebuah laman web tempatan.

“Tidak lama kemudian, saya menerima e-mel daripada seorang pembeli yang memperkenalkan diri sebagai ‘John James’ memaklumkan mahu membeli perabot berkenaan.

“Lelaki yang mendakwa menetap di luar negara itu bagaimanapun meminta saya membuka akaun melalui sistem akaun jual beli antarabangsa secara dalam talian.

“Selepas menghantar e-mel tuntutan kepadanya, saya menerima maklum balas kononnya pembayaran sudah dibuat ke dalam akaun sistem berkenaan iaitu RM4,500 merangkumi kos barangan (RM2,300) dan syarikat perkapalan (RM2,200),” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila menerima e-mel daripada syarikat sistem akaun jual beli antarabangsa itu yang menyatakan semua wang itu akan diterimanya, namun perlu dibuat melalui pihak ketiga iaitu sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di United Kingdom, namun perlu menjelaskan RM2,200 terlebih dulu kepada pihak ketiga melalui akaun bank diberikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment