Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Pengusaha minyak ‘bersembunyi’ di Bali



SHAH ALAM – Seorang pengusaha minyak di Perak yang menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penye�lewengan diesel bersubsidi, dikesan bersembunyi di sebuah pusat peranginan terkenal, di Bali, Indonesia.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an tidak diberkas semasa SPRM bersama Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan serbuan besar-besaran di empat negeri iaitu, Perak, Kedah, Perlis dan Pahang, Isnin lalu.

Menurut sumber, ketika serbuan, SPRM mengenal pasti lokasi suspek berada dan hanya menunggunya pulang untuk diberkas.

“Semasa serbuan itu, SPRM sudah mengetahui suspek sedang bercuti di Bali dan kita hanya menunggu kepulangannya.

“SPRM akan menangkapnya dalam tempoh terdekat dan suspek akan terus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh,” katanya kepada :Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, sehingga kini, 44 individu terdiri daripada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), pengusaha minyak, ‘runner’ (orang upahan) atau pekerja dan pemandu lori ditahan.

Katanya, tangkapan terbaru SPRM membabitkan lima individu di Perak iaitu tiga jurupam di PNK Matang, Krian dan Manjung Utara, seorang 'runner' dan pemilik jeti, berumur antara 22 dan 35 tahun.

Mohd Jamidan berkata, di Kuantan, Pahang pula, tiga individu antaranya seorang pengusaha ‘skid tank’ haram ditahan.

Beliau berkata, terdahulu di Sarawak, enam individu ditahan sekitar Julai sehingga Ogos lalu, melibatkan pegawai tertinggi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah III Miri, seorang Pembantu Hal Ehwal Ekonomi LKIM, Miri, dan masing-masing dua PNK serta pengusaha.

“20 kad e-diesel juga di rampas dan akan ada lagi tangkapan dibuat dan di Sarawak sahaja, kita sedang memburu tiga lagi individu,” katanya, semalam.

Mohd Jamidan berkata, selain tangkapan itu, 21 premis industri di seluruh negara yang membeli diesel bersubsidi, turut disiasat.

Isnin lalu, di Perak, enam ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) ditahan kerana disyaki menjadi dalang sindiket untuk dijual kepada pengusaha industri yang menyebabkan kerajaan kerugian berpuluh juta ringgit setahun mengikut harga pasaran semasa.

Mohd Jamidan pada sidang medianya di SPRM Perak memberitahu, 21 individu juga ditahan di Perlis, Kedah dan Pahang.

Mereka ditahan kerana disyaki memalsukan dokumen minyak yang diambil daripada depot.

Kelmarin, seorang pemandu lori ‘skid tank’ haram, Sofli Ahmad, 31, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, selepas mengaku bersalah cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai penguat kuasa KPDNKK berhubung kes penyelewengan subsidi diesel.

Di Alor Setar, seorang pemilik depot simpanan, Zulkifli Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan memberi rasuah wang tunai RM3,000 kepada seorang pegawai penguat kuasa kementerian sama.

Sejak Julai lalu, harga minyak diesel bersubsidi dijual kepada nelayan pada harga RM1.25 seliter dan sindiket mengaut keuntungan sekitar 40 sen bagi setiap liter, setelah minyak itu dijual kepada pengusaha industri.

Harga pasaran untuk diesel sekarang adalah kira-kira RM1.75 seliter dan jualan untuk industri tidak menentu, berdasarkan pasaran dunia.

Kegiatan penyelewengan ini digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan nelayan

No comments:

Post a Comment