Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Pengarah JPJ Negeri Sembilan diarah beri kerjasama


KANGAR 14 Nov. - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan telah mengarahkan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Mohd. Kamal Saad untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyalahgunaan wang RM660,000.
Beliau berkata, arahan juga telah dikeluarkan agar Mohd. Kamal turut membantu siasatan SPRM mengenai penglibatan kakitangannya dalam penganjuran dan kutipan derma bagi menjayakan sebuah program dinamakan 'Majlis Mesra JPJ Negeri Sembilan'.
"Saya telah dimaklumkan ada pihak ketiga telah menggunakan kepala surat Kelab Sukan JPJ Negeri Sembilan untuk mengutip derma bagi menjayakan majlis tersebut namun saya tidak tahu sejauh mana pembabitan kakitangan JPJ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menutup majlis Program Satu Komuniti Satu JPJ 2010 yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Mat Hassan dan Pengarah JPJ Perlis, Zulhasmi Mohamad di Seberang Ramai, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Menurut Solah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap kakitangannya jika terbukti terlibat dalam kes tersebut.
"Kita akan teliti laporan yang diterima nanti dan melihat sejauh mana kakitangan itu terlibat melanggar ordinan kerajaan yang telah ditetapkan," tegasnya.
Solah menegaskan, beliau telah mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini, bersama-sama semua Pengarah JPJ negeri melarang sebarang bentuk kutipan derma oleh kakitangannya.
"Peringatan telah diberikan bahawa tindakan mengutip derma untuk menganjurkan apa juga majlis adalah dilarang dan mereka perlu mencari jalan lain yang tidak bercanggah dengan pekeliling yang telah dikeluarkan," katanya.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan dua kakitangan JPJ Negeri Sembilan antara lima yang ditahan oleh SPRM kerana disyaki menyalahgunakan wang sebanyak RM660,000 yang dikutip daripada individu dan syarikat untuk menganjurkan satu majlis yang tidak wujud.
Kakitangan JPJ yang ditahan merupakan seorang pegawai berusia 45 tahun dan kerani berusia 53 tahun dan telah ditahan di rumah masing-masing pagi semalam.
Sementara itu pada majlis penutup tersebut seramai 319 warga emas di negeri ini menerima lesen memandu percubaan setelah berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian memandu yang dianjurkan JPJ negeri pada majlis yang bermula semalam.

No comments:

Post a Comment