Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Penarik kereta dipenjara empat tahun dan enam sebatan miliki pistol

KUALA LUMPUR: Seorang penarik kereta hari ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki sepucuk pistol.
Hakim Zainal Abidin Kamaruddin membuat keputusan itu terhadap S Theventhiran, 29, dan mengarahkannya menjalani hukuman itu bermula pada tarikh dia ditangkap pada 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Walther P99 AS, di sebuah rumah di alamat Nombor 11, Taman Seri Sinar Kepong, Sentul di sini pada 11 pagi, 19 Oktober tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 8 Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Dia yang tidak diwakili peguam bela merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana adalah penanggung tunggal keluarga.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim.-Bernama

No comments:

Post a Comment