Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Pelajar Tingkatan Satu lemas



Oleh Azmi Md Deros, Adha Ghazali, Nahar Tajri, Zuliaty Zulkiffli, Betty Subaryati dan Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my
2010/11/03

 KEADAAN bandar Kangar yang ditenggelami banjir setinggi 0.5 hingga 1 meter, semalam.
KEADAAN bandar Kangar yang ditenggelami banjir setinggi 0.5 hingga 1 meter, semalam.
Mangsa hilang ketika memasang pukat bersama abang di bendang 

ALOR SETAR: Seorang pelajar berusia 13 tahun menjadi mangsa pertama lemas dalam kejadian banjir di Kedah ketika mencari ikan di kawasan sawah yang ditenggelami banjir di Kampung Pong, Kuala Nerang lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Zaki Amani Shaari, 13, bersama abangnya Sallehudin Al Ayubi Shaari, 15 pergi ke kawasan bendang berhampiran rumahnya untuk menangkap ikan menggunakan pukat.
Bagaimanapun, ketika sedang asyik menahan pukat Sallehudin menyedari adiknya hilang menyebabkannya panik dan cuba mencari di sekitar kawasan berkenaan, namun hanya terjumpa selipar yang dipakai adiknya. 

Sallehudin kemudian bergegas pulang dan memberitahu keluarga yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. 

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan, Ku Yaacob Ku Ahmad ketika dihubungi berkata mayat mangsa ditemui pada kira-kira jam 7 malam tadi. 

Sementara itu, keadaan banjir di Kedah bertambah buruk apabila lebih 15,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke 159 pusat penempatan sementara di empat daerah yang terjejas teruk akibat bencana itu sejak dua hari lalu. 
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri ketika dihubungi berkata, Kubang Pasu mencatat mangsa dipindahkan paling ramai, iaitu 10,834 orang membabitkan 3,108 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan, manakala Padang Terap pula seramai 3,560 daripada 941 keluarga di 41 pusat pemindahan. 

Di Kota Setar, 709 orang daripada 202 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan dan Pokok Sena 368 orang di lapan pusat pemindahan. 

Sehingga jam 6.30 petang semalam empat sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kampung Kubu di Kuala Nerang mencatat bacaan 15.5 meter, berbanding paras bahaya 13.5 meter, manakala Sungai Bata di Kubang Pasu mencecah 10.22 meter, berbanding paras bahaya 9.14 meter. 

Di KANGAR, banjir bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,536 orang di 35 pusat pemindahan di negeri ini, selain lebih 11,000 hektar sawah dilaporkan tenggelam selepas hampir dua pertiga daripada negeri ini dilanda banjir bermula malam Ahad lalu. 

Selain bandar ini, pekan Arau membabitkan sekitar Istana Diraja Arau turut dilaporkan terjejas kerana digenangi air. 

Di RANTAU PANJANG: Seramai 340 mangsa banjir membabitkan 101 keluarga di Rantau Panjang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir di sini, malam kelmarin dan awal pagi semalam, berikutan hujan lebat sejak Jumaat lalu, menyebabkan air Sungai Golok melimpahi kampung mereka. 

Di KUANTAN, Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 600 pusat pemindahan di seluruh daerah yang boleh menampung lebih 100,000 mangsa banjir dan boleh beroperasi bila-bila masa jika berlaku banjir.

No comments:

Post a Comment