Search This Blog

Tuesday, November 23, 2010

Pelajar tingkatan 4 hilang dari sekolah





2010/11/23

ALOR SETAR: Seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah di Sungai Petani, hilang dipercayai dilarikan teman lelakinya sejak 21 Oktober lalu. 

Ibu mangsa Tan Ghek Khim, 46, mendakwa sehari sebelum kejadian, anaknya Low Li Min, 16, ada memberitahunya mahu berkawan dengan seorang lelaki tetapi dia menolak kerana Low masih lagi belajar.
"Pada keesokkan harinya, guru kelas anak saya ada menghubungi saya dan memberitahu bahawa anak saya (Low) tidak masuk ke kelas. Saya berasa hairan kerana anak saya pergi ke sekolah seperti biasa. Dia pergi bersama rakan perempuannya," katanya pada sidang media di pejabat Gerakan di sini hari ini.
Tan berkata, kawan anaknya itu ada memberitahunya bahawa anaknya telah mengikut seorang lelaki dipercayai teman lelakinya sebelum masuk ke sekolah pagi itu. 

"Saya mengesyaki lelaki itu adalah teman lelaki anak saya. Saya dan suami terus pergi ke rumah lelaki itu dan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mereka telah memberi nombor telefon bapanya. 

"Saya terus menghubungi bapa suspek dan dia beritahu dia akan cuba mencari (Low) tetapi sehingga sekarang anak saya belum ditemui," katanya. 

Tan berkata, dia percaya kehilangan Low ada kena mengena dengan pinangan yang ditolak pada Disember tahun lepas. 
"Keluarga teman lelaki anak saya ada datang meminang anak saya tetapi saya menolak dengan cara baik kerana Low masih bersekolah. Baru-baru ini pun mereka ada datang untuk meminang tetapi macam mana saya nak terima sedangkan anak saya tidak berada di depan mata," katanya dengan nada sedih. 

Sepanjang kehilangan Low, Tan berkata dia hanya bercakap dengan Low sebanyak dua kali sahaja melalui telefon. 

"Kali pertama dia telefon, dia cakap mahu pulang sambil menangis dan semalam kami dapat bercakap dengannya sekali lagi dan memujuknya memberitahu lokasi dia berada tetapi dia kata dia berada jauh dan tidak tahu tempatnya. Saya meminta pertolongan orang ramai menghubungi balai polis berhampiran sekiranya menjumpai Low," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata polis sedang menyiasat kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment