Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Pekerja lari lintang-pukang

PERIKSA...Ahmad Solihin (kiri)  bersama seorang anggota penguat kuasa MPS memeriksa ayam yang disembelih di Pasar Borong Selayang.
PERIKSA...Ahmad Solihin (kiri) bersama seorang anggota penguat kuasa MPS memeriksa ayam yang disembelih di Pasar Borong Selayang.


TUTUP...sebuah pusat penyembelihan disita kakitangan MPS.
TUTUP...sebuah pusat penyembelihan disita kakitangan MPS.
KUALA LUMPUR: Tiga pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang, di sini, diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan polis, awal pagi semalam selepas menerima aduan mengenai keraguan cara penyembelihan dan kebersihan.
Harian Metro difahamkan ayam di pusat penyembelihan itu didapati tidak disembelih secara sah menurut hukum Islam selepas didapati urat halkum ayam disembelih tidak sempurna.

Namun, kehadiran pihak berkuasa kira-kira jam 1 pagi itu seolah-olah dihidu apabila beberapa pekerja pusat penyembelihan yang dipercayai tidak mempunyai tauliah lari lintang-pukang dan gagal diberkas.

Penolong Pengarah Unit Halal Jais, Ahmad Solihin Maryakoon, berkata dia terkejut apabila banyak ayam yang disembelih kelihatan meragukan kerana dikhuatiri mati lemas dan tersepit dalam bakul yang disediakan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan isu syubahah atau curiga sama ada ia halal dimakan atau sebaliknya berikutan pernah berlaku peniaga melemaskan ayam yang baru disembelih ke dalam tong besar berisi air atau menindihnya dalam tong bagi mempercepatkan proses kematian sebelum diproses dan dijual kepada orang ramai. Pengarah Jabatan Kesihatan MPS, Dr Razif Zainal Abidin, pula berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan ayam disembelih dengan cara tidak sempurna dan sijil halal tiada di premis.

“Ketiga-tiga pusat penyembelihan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 kerana melanggar undang-undang kecil syariah seperti tidak mengambil suntikan imunisasi untuk setiap pekerja, tidak menjaga kebersihan, tidak mempunyai permit perniagaan, melanggar syarat penyembelihan dan darah ayam disalurkan terus ke longkang utama.

“Sebuah pusat penyembelihan turut disita kerana membuat penambahan lot tanpa izin daripada MPS dan menggunakan bekalan elektrik dari bangunan bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Solihin berkata, penggunaan voltan elektrik bagi memudahkan proses penyembelihan adalah dibenarkan, tetapi pada kadar yang rendah supaya ayam tidak mati akibat kejutan elektrik.
“Kepada pengusaha Islam yang didapati bersalah menjalankan penyembelihan secara haram akan dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment