Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Pekerja ladang dakwa dipaksa buat pengakuan



K. Sarawanan (kanan) dan U. Suresh dikawal ketat pegawai penjara selepas perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 25 Nov. - Genap 39 hari mengaku bersalah membakar mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, seorang bekas pekerja ladang memfailkan satu notis usul mendakwa pengakuan tersebut dibuat dalam keadaan terpaksa, terpedaya dan tanpa kerelaan.
Pengakuan itu juga dibuat selepas tidak tahan dipukul malah turut diacukan senjata sewaktu berada dalam tahanan reman.
K. Sarawanan, 19, turut menyatakan, dia telah dijanjikan pembebasan sekiranya mengaku melakukan perbuatan tersebut dan memilih peguam yang telah ditentukan oleh pihak polis.
Oleh yang demikian, pemuda itu memohon agar Mahkamah Tinggi di sini menyemak semula rekod mahkamah dan membetulkan kekhilafan yang didakwa berlaku pada prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober lalu.
Pekerja ladang milik tertuduh utama kes pembunuhan pengasas kosmetik Nouvelles Visage, N. Pathmanabhan itu turut memohon agar pihak pendakwaan mengemukakan bukti-bukti baru bagi menyokong pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Sarawanan memfailkan notis usul tersebut melalui firma guaman, Tetuan A. S. Dhaliwal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang pernah bekerja sebagai mekanik motosikal didakwa atas empat pertuduhan membakar mayat Sosilawati, 47, bersama pemandu jutawan itu, Kamarudin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini.
Turut didakwa bersama-sama Sarawanan ialah seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh, 26.
Suresh yang diwakili peguam bela, M. Puravelan turut didakwa atas empat pertuduhan melupuskan bukti pembunuhan kejam itu dengan sengaja membuang abu mayat kesemua mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Klang dekat sini kira-kira pukul 8 dan 10 pagi, 31 Ogos lalu.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok.
Berikutan perkembangan terbaru ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof memohon agar kes itu ditangguhkan sehingga Januari tahun hadapan bagi membolehkan pihak pendakwaan menjawab notis tersebut.
Melihat keberatan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang menyifatkan penangguhan itu sebagai terlalu lama, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin berkata, tempoh masa itu diperlukan kerana tohmahan yang dibuat dalam notis itu adalah berat dan perlu dibantah.
Selain notis usul oleh Sarawanan, barisan pembelaan yang mewakili Pathmanabhan diketuai oleh peguam Amer Hamzah Arshad turut memfailkan empat notis usul dalam kes rayuan dan semakan itu.
Barisan pembelaan itu memfailkan notis untuk menjadi pencelah dan memohon kebenaran berhujah dalam kes rayuan dan semakan tersebut yang disifatkan mahkamah sebagai kali pertama dikemukakan dalam sesuatu kes jenayah.
Menurut Amer Hamzah, permohonan itu dibuat kerana pertuduhan dan fakta dalam kes Sarawanan serta Suresh telah menyebabkan prejudis terhadap anak guam mereka sekali gus menafikan hak Pathmanabhan dan tertuduh lain dibicarakan secara adil.
Ia juga merupakan satu tindakan menghina mahkamah dan bersifat mala fide (niat jahat).
Selepas mendengar hujah ringkas kesemua pihak, Hakim Mohtarudin menetapkan 10 Januari tahun hadapan untuk pendengaran kesemua notis usul dan hujah balas.

No comments:

Post a Comment