Search This Blog

Monday, November 22, 2010

'Pegawai JKM' kebas wang wanita tua



Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/11/22

Dakwa untuk daftar program e-Kasih 

BETONG: Seorang wanita berusia 60 tahun hilang semua wang simpanan dan barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas diperdaya pasangan yang mendakwa sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melakukan proses pendaftaran program e-Kasih, kira-kira tiga bulan lalu.
Lebih malang, warga emas yang berasal dari sebuah rumah panjang berdekatan, hanya menyedari dia ditipu beberapa hari lalu, selepas mendapati wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank tidak dilakukan JKM, sebelum laporan mengenainya dibuat.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata mangsa dikunjungi dua individu berpakaian kemas berusia sekitar 30-an yang memintanya menyerahkan buku bank dan barang kemas sekiranya mahu menerima bantuan di bawah program e-Kasih. 

Katanya, percaya dengan janji oleh individu berkenaan, mangsa menyerahkan semua barang berharga sebelum dibawa mengeluarkan semua wang simpanannya di bank, dengan individu berkenaan berjanji akan membawanya menghadiri temu duga JKM. 

“Bagi meyakinkan mangsa, dua ‘pegawai’ terbabit menjelaskan adalah sukar baginya menerima bantuan sekiranya JKM mengetahui dia mempunyai wang simpanan serta barang kemas yang banyak. 

“Tanpa berfikir panjang atau berbincang dengan ahli keluarga, mangsa menyerahkan semua barang kemas serta wang simpanannya untuk disimpan ‘sementara’ oleh suspek yang memaklumkan akan menyerahkan kembali barangan berkenaan selepas permohonan mangsa berjaya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 
Bukhori berkata, selepas menunggu temu duga yang dijanjikan hampir tiga bulan, mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada keluarganya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Betong, Jumaat lalu. 

“Setakat ini, kita sudah menerima 10 laporan kes membabitkan modus operandi yang sama dengan mangsa kebanyakannya adalah penduduk di kawasan pedalaman dan berusia 60 tahun ke atas,” katanya. 

Mana-mana penduduk yang mempunyai maklumat mengenai kes ini atau pernah menjadi mangsa kepada kumpulan ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Betong di talian 083-472551 bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment