Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Pasangan terdesak punca berlaku kes jual bayi



KUALA LUMPUR 2 Nov. - Polis tidak menolak kemungkinan pasangan suami isteri yang terdesak dan memerlukan wang sanggup menjual bayi mereka kepada pasangan yang tidak mempunyai anak melalui satu sindiket yang dikesan di ibu negara semalam.
Golongan yang tidak mempunyai anak dikatakan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membiayai kos rawatan perubatan dan bersalin ibu kandung bayi itu.
Perkara ini didedahkan oleh sumber polis yang memberitahu, kegiatan penjualan bayi yang berjaya ditumpaskan semalam dipercayai menjual bayi yang dilahirkan ibu warga tempatan.
"Berdasarkan siasatan, kedua-dua bayi yang berjaya diselamatkan semalam masing-masing berusia seminggu dan empat bulan, adalah bayi tempatan.
"Polis kini masih mengesan pasangan yang menjual kedua-dua bayi itu kepada sindiket terbabit," kata sumber polis ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, polis menahan enam orang termasuk seorang doktor selepas menyerbu sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh di sini.
Turut ditahan, isteri dan anak perempuan kepada doktor terbabit serta tiga jururawat selain berjaya menyelamatkan bayi lelaki dan perempuan berusia empat bulan dan seminggu yang dipercayai untuk dijual.
Kegiatan itu terbongkar apabila sepasang suami isteri yang membeli bayi perempuan itu sejak sebulan lalu selesai berurusan dengan hospital swasta berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan terbabit.

No comments:

Post a Comment