Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Padah lari daripada polis




JERTIH – Seorang pemuda yang cuba melarikan diri daripada polis cedera apabila motosikal yang dinaikinya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kampung Kubang Depu, dekat Jertih. 

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang berumur 20 tahun cedera di kepala manakala rakannya yang membonceng tidak mengalami kecederaan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika kejadian, lelaki berkenaan bersama sekumpulan penunggang motosikal berada di sebatang jalan di kampung itu. 

Menurutnya, mereka dipercayai terdiri daripada golongan mat rempit yang berkumpul untuk menjalankan kegiatan lumba haram dan mengganggu pengguna jalan raya lain di kawasan itu. 

“Terdahulu, sebelum itu, pada jam 6.30 petang hari yang sama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menerima maklumat daripada orang ramai memberitahu terdapat sekumpulan penunggang motosikal di kawasan tersebut. 

“Bertindak atas maklumat itu, sebuah kereta peronda polis dihantar membuat tinjauan di kawasan berkenaan,” katanya. 

Kamaruddin berkata, menyedari kehadiran polis, semua penunggang motosikal itu berpecah dan melarikan diri. 

Beliau berkata, kereta peronda polis bertindak mengekori salah sebuah motosikal tersebut sambil memberi amaran supaya berhenti namun tidak diendahkan sebaliknya memecut laju dari arah Kampung Kubang Debu ke Kampung Cherang Meliling. 

“Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki lelaki berasal dari Kampung Pulau Panjang, Jertih itu terbabas. Dia yang cedera dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan,” katanya. 

Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan kerana menunggang secara berbahaya. 

Kata Kamaruddin, penunggang motosikal diingatkan sentiasa mematuhi arahan polis dan tindakan melarikan diri akan membahayakan diri sendiri. 

“Polis akan bertindak dengan cara paling munasabah serta menggunakan kekerasan yang paling minimum jika ada yang cuba melarikan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment