Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Padah buat pusingan U




TUMPAT - Seorang warga emas yang menunggang motosikal roda tiga maut dirempuh sebuah kereta ketika membuat pusingan U di Kilometer 9 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor di kampung Bendang Luas, lewat petang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Senik Mohamed, 70, dari Kampung Kebakat yang cedera parah di kepala serta hancur kaki kanan, meninggal dunia di tempat kejadian. 

Difahamkan, akibat rempuhan kereta kancil yang dalam perjalanan dari arah Wakaf Bharu, mangsa melambung dan motosikalnya putus dua manakala kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki bersama penumpang terbabas jatuh ke dalam longkang di jalan bertentangan. 

Pemandu dan penumpang kereta terbabit tidak mengalami kecederaan yang serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tumpat. 

Saksi kejadian, Saiful Adli Ismail, 30, berkata ketika kejadian dia berada kira-kira 10 meter dari tempat kemalangan mendakwa melihat mangsa seperti mahu membuat pusingan U kerana kerap berpaling ke arah belakang. 

“Perlahan saja pakcik itu menunggang motosikal roda tiganya menghala ke Chabang Empat. Saya lihat seperti dia mahu melintas jalan kerana kerap berpaling ke belakang walau pun berada di laluan motosikal,” katanya. 

Menurutnya, ketika pakcik itu cuba membelok ke sebelah kanan jalan, datang sebuah kereta kancil yang dipandu laju dari arah yang sama lalu melanggarnya. 

“Kereta itu sempat brek tetapi mungkin kerana terlalu dekat sangat sehingga dilanggarnya motosikal roda tiga pakcik tersebut,” katanya yang turut terdengar dentuman yang kuat akibat rempuhan kereta itu walau pun ketika itu dia berada kira-kira 10 meter dari tempat kejadian. 

Menurutnya, dia juga turut melihat bagaimana warga emas itu melambung dan jatuh di atas jalan manakala kereta tersebut terbabas dan masuk longkang di tepi jalan. 

“Saya terus berlari ke tempat kejadian untuk menyelamatkan pakcik itu, namun dia sudah meninggal dunia. Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan serius dan keluar sendiri melalui cermin hadapan sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans selepas dihubungi orang ramai,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

No comments:

Post a Comment