Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Pacuan empat roda rempuh kedai



GUA MUSANG – Peniaga kedai makan bersebelahan Stesen Minyak Shell Gua Musang di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila kedai makannya dirempuh pacuan empat roda tanpa pemandu 12 malam, semalam. 

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian pemandu pacuan empat roda seorang lelaki berketurunan Cina berusia lingkungan 40-an meninggalkan kenderaannya tanpa mematikan enjinnya. 

Tidak lama kemudian, kenderaan tersebut dilihat menuruni bukit, lalu melanggar Perodua Kancil diletakkan di tepi jalan sebelum rempuh kedai makan itu. 

Pemiliknya, Mohd Fahmi Nordin, 23, berkata, ketika itu kedai makannya ditutup dan dia berada di kediamannnya di Taman Wangi kerana bercuti dua hari sempena perkahwinan abangnya. 

Mohd Fahmi berkata, dia merancang untuk memulakan semula perniagaannya semalam tetapi terpaksa menangguhkannya akibat kejadian tersebut. 

“Hasrat untuk memulakan perniagaan esok terpaksa dibatalkan akibat kerosakan teruk pada bahagian hadapan kedai. 

“Kerusi, meja banyak yang rosak, begitu juga pendawaian perlu dibuat baru dan dianggarkan mengambil masa untuk disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Mohd Fahmi berkata, walaupun berdepan kerugian, tetapi dia bersyukur kerana tidak ada yang cedera. 

Menurutnya, kejadian semalam merupakan kemalangan kedua berlaku di kedai makannya. 

“Walau pun berdepan kerugian agak besar kerana terpaksa mengambil masa membaik pulih kedai dan bercuti bagi kerja-kerja pembaikan, saya tetap bersyukur kerana kejadian berlaku ketika saya tidak berniaga, kalau tidak, mungkin ada akan cedera. 

“Kejadian pertama berlaku beberapa tahun lalu melibatkan kerugian kira-kira RM5,000 apabila kedai dirempuh kereta Wira juga tanpa pemandu,” katanya.

No comments:

Post a Comment