Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak lemas dihentikan


ALOR SETAR - Pasukan mencari dan menyelamat telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat Awwad Hakimi Rudaini, 7, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Tanjung Bendahara ketika banjir 4 Nov lepas.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata, operasi itu terpaksa dihentikan hari ini selepas 10 hari kanak-kanak terbabit dilaporkan terjatuh ke dalam tali air itu.

"Pihak keselamatan seperti polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berusaha mencari kanak-kanak itu tapi sehingga semalam kami gagal menemui mayat mangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Asri berkata, kira-kira 90 anggota pasukan keselamatan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat sepanjang operasi itu dijalankan.

Beliau berkata, operasi mencari mayat kanak-kanak itu dijalankan sehingga ke Kuala Kedah iaitu lebih 10 kilometer dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh.

Dalam kejadian 4 Nov lepas, Awwad Hakimi dan rakannya Nur Irshah Rosli, 9, dikatakan terjatuh ke dalam tali air itu ketika bermain bersama beberapa rakan lain. Mayat Nur Irshah dijumpai pada 6 Nov lepas kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment