Search This Blog

Thursday, November 11, 2010

Nampak percikan api




MENGLEMBU – Sebuah keluarga tidak sempat meraikan hari jadi yang kedua anak bongsu selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Rumah Pekerja Ladang Menglembu, Yayasan Perak, di sini, petang kelmarin. 

Selain itu, sepasang warga emas dan dua orang pekerja asing mengalami nasib yang sama apabila rumah mereka turut hangus dalam kejadian kebakaran itu. 

Mangsa, V Tamilvaanan, 26, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, beliau sedang berehat di rumah sebelum menyedari percikan api yang tiba-tiba muncul dari rumah bersebelahan. 

Beliau yang dalam keadaan cemas segera masuk ke rumah untuk menyelamatkan isteri dan tiga anaknya yang sedang tidur berusia antara dua hingga lima tahun. 

“Keadaan pada ketika itu sangat kelam kabut sehingga kami tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting mahupun barangan keperluan memandangkan api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Tamilvaanan yang bekerja di ladang kelapa sawit itu berkata, segala dokumen penting seperti MyKad, sijil kelahiran milik anak-anaknya, kad pendaftaran motosikal jenis Honda C-70 dan surat pajak gadai musnah bersama harta benda lain.

“Sepanjang menetap di sini, kebakaran ini adalah kejadian terburuk yang menimpa kami sekeluarga,” katanya yang sudah bermastautin di situ hampir 26 tahun lalu.

Seorang lagi mangsa yang turut berkongsi nasib yang sama, N Ramasee, 54, berkata beliau terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu.

Katanya, segala barangan keperluan yang baru dibeli sempena perayaan Deepavali Jumaat lalu hangus terbakar dalam sekelip mata.

“Saya dan suami cuba meninjau keadaan sekitar rumah selepas kebakaran dipadamkan namun tiada apa yang dapat diselamatkan kerana semuanya sudah bertukar menjadi abu.

“Buat masa ini, kami terpaksa hidup dalam keadaan sehelai sepinggang dan menunggu bantuan ihsan daripada mereka yang sudi menghulurkan,” katanya yang sudah 26 tahun bekerja di ladang berkenaan.

Difahamkan, anggaran kerugian bagi kedua-dua keluarga itu adalah sebanyak RM34,000.

Sementara itu, Ketua Bahagian MIC Batu Gajah, S Pulikesi berkata, pihaknya sudah memberikan bantuan kilat sebanyak RM2,000 bagi setiap keluarga.

“Bagaimanapun, bagi dua pekerja asing yang turut kehilangan tempat tinggal dalam kejadian itu, pihak ladang akan menguruskannya,” katanya yang ditemui selepas melawat kawasan kebakaran di sini, semalam.

Pulikesi berkata, pihaknya akan membantu menguruskan dokumen pengenalan diri kedua-dua keluarga berkenaan secepat mungkin supaya segala urusan penting dapat diselesaikan segera.

“Keluarga terbabit akan ditempatkan di sebuah penempatan sementara yang diuruskan pihak ladang sementara menunggu pembinaan semula rumah baru yang dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment