Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Muka ustazah melecur

MELECUR...Ainul Mardhiah menunjukkan mukanya yang disambar api.
MELECUR...Ainul Mardhiah menunjukkan mukanya yang disambar api.
IPOH: “Saya menjenguk bawah dulang tempat api dinyalakan kerana hairan apinya biru dan terlalu kecil serta berbuih sebelum berlaku letupan.
“Dalam keadaan kelam-kabut, saya melarikan diri ke tempat selamat bersama dua rakan lain berhampiran tempat dulang makanan itu tanpa menyedari sebahagian muka dan kepala saya melecur,” kata Ainul Mardhiah Elias, 39, ketika ditemui di Hospital Pantai Ipoh di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 malam Jumaat lalu berlaku ketika majlis makan malam meraikan 186 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussof, Batu Gajah, kira-kira 20 kilometer dari sini, sempena cuti persekolahan akhir tahun.

Kejadian itu menyebabkan Ainul Mardhiah yang juga guru Pendidikan Islam sekolah berkenaan melecur di dahi, sekitar muka termasuk di kedua-dua mata serta terbakar rambut di ubun-ubun akibat disambar api letupan berkenaan.


Mangsa yang juga adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias al-Hafiz berkata, berkata gas pepejal berbentuk gel dalam botol itu dibelinya bersama 10 set dulang makanan untuk digunakan bagi majlis berkenaan di sebuah kedai peralatan dapur di Batu Gajah sebelum kejadian.

Menurutnya, pemilik premis terbabit mengesyorkan penggunaan gas pepejal berbentuk gel itu kerana mudah digunakan dan tahan lama bagi tujuan memanaskan makanan dalam dulang.

“Ia kali pertama saya menggunakannya. Sebelum ini hanya memakai lilin. Sebaik meletakkan gel itu dalam bekas di bawah dulang makanan, saya menghidupkannya dengan pemetik api.

“Saya hairan api dinyalakan terlalu kecil dan berwarna biru serta gelnya berbuih-buih.

“Ketika itu berlaku letupan kuat seperti bunyi meriam buluh. Ketika melarikan diri saya sedar tudung terbakar dan panas di muka.

“Seorang rakan menjerit mengatakan terdapat api pada muka saya dan saya terus memadamkan dengan tangan dan kain basah sebelum meletakkan ketulan ais di bahagian terbakar,” kata ibu kepada lima anak itu.

Ainul Mardhiah berkata, dia bergegas ke klinik berhampiran sebelum doktor menasihatkannya ke Unit Kecemasan Hospital Batu Gajah pada hari sama kerana tahap melecur serius sebelum menerima rawatan susulan di hospital swasta, kelmarin.

Menurutnya, dia bersyukur 186 pelajar serta guru termasuk pengetua di dewan berkenaan tidak cedera kerana ketika letupan berlaku dulang makanan terbabit berada di belakang dewan.

“Saya akan berbincang dengan ahli keluarga dan pengurusan sekolah sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat mengeluarkan bahan pembakar gas pepejal berbentuk gel itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment