Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Misteri kehilangan anak lembu akhirnya terjawab


Anggota bomba mengangkat seekor ular seberat kira-kira 100 kilogram di Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN 12 Nov. – Misteri kehilangan beberapa ekor anak lembu di Hujung Rintis di sini terjawab apabila penduduk kampung menjumpai seekor ular sawa sepanjang lebih sembilan meter dan beratnya kira-kira 100 kilogram.
Ular sawa berwarna coklat gelap itu berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat ketika ular tersebut cuba menelan seekor lagi anak lembu pada pukul 1.30 pagi semalam.
Seorang penduduk kampung yang menyaksikan kejadian itu, Mohd. Sahar Dahalan, 45, berkata, dia tidak menjangka ‘benda’ panjang yang melintangi jalan raya sehingga menghalang perjalanannya itu adalah seekor ular sawa.
‘‘Saya terkejut mendapati apa yang saya lihat itu sebenarnya ialah ular sawa yang besar dan panjang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Mat Dani Mat Saat, 24, pula berkata, dia terpaksa bergelut dengan ular sawa tersebut yang tiba-tiba menyerang dirinya.
‘‘Kami baru pulang dari kedai kopi berdekatan ketika terserempak dengan ular tersebut. Bila mendekatinya, ular itu bertindak agresif dan membelit badan saya,” katanya.
Bagaimanapun jelas Mat Dani, usahanya untuk melepaskan diri berjaya dan dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa mereka.
Seorang lagi penduduk kampung, Azli Ali, 25, memberitahu, sebelum ini memang sering berlaku kejadian anak lembu hilang tanpa dapat dikesan.
‘‘Sekarang kami tahu kenapa anak-anak lembu hilang. Ini semua angkara ular sawa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, A. Ravi berkata, seramai lima anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan daripada penduduk memaklumkan penemuan tersebut
‘‘Ular sawa yang ditangkap ini panjangnya melebihi sembilan meter dan beratnya kira-kira 100 kilogram.
‘‘Kami telah memaklumkan penangkapannya kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

No comments:

Post a Comment