Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Misteri bau busuk terjawab



SUBANG JAYA – Tanda tanya seorang isteri yang pelik panggilannya ke telefon bimbit suami tidak berjawab berakhir dengan kesedihan apabila suaminya itu ditemui di sebuah rumah pangsa kos rendah di SS19, di sini, petang semalam.

Mangsa, M Suhaili Shamsudin Abu Bakar, 30, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tinggal berseorangan di rumah dipercayai disewa selepas isterinya pulang ke kampung selepas melahirkan anak sulung mereka seminggu sebelum Aidiladha lalu.

Sinar Harian dimaklumkan, isteri mangsa yang risau beberapa panggilan terhadap kedua-dua nombor telefon milik suaminya tidak dijawab, bertindak menghubungi penyelia di tempat suaminya bekerja.

Sumber berkata, penyelia yang kemudian mendapati mangsa tidak hadir bekerja seperti biasa berkunjung ke rumahnya untuk mengetahui apa yang berlaku.

Katanya, penyelia itu memaklumkan curiga selepas terhidu bau busuk dari luar rumah mangsa sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan pemeriksaan dijalankan menemukan mayat mangsa tanpa pakaian di bilik belakang kediamannya di Tingkat 3 rumah pangsa berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui,” katanya yang memaklumkan mangsa pernah menghubungi seorang rakannya 22 November lalu dan mengadu sakit dada.

Jiran mangsa, Nik Marhahliza Nik Mohamad, 35 berkata, dia ada terhidu bau busuk dari rumah itu pagi semalam namun tidak menyangka ada apa-apa keadaan yang mencurigakan.

“Sudah beberapa hari saya tidak ternampak kelibat lelaki itu sejak isterinya pulang ke kampung.

“Tetapi sebelum itu, saya sempat bersembang dengan isterinya yang memaklumkan terpaksa pulang ke kampung kerana anaknya yang baru dilahirkan menghidap sakit kuning,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kematian mangsa dan dia dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Kejadian disedari pe- nyelia tempat mangsa bekerja kira-kira jam 3.30 petang yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis berhubung perkara itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment