Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Menteri Telekom India letak jawatan berhubung penipuan 2G


NEW DELHI - Menteri Komunikasi dan Teknologi Informasi India A. Raja meletak jawatan Ahad malam berikutan dakwaan berlaku penipuan peruntukan spektrum 2G yang mencetuskan kontroversi. 

Ahli politik berusia 47-tahun itu menghadapi tekanan supaya meletak jawatan selepas anggota parlimen pembangkang mendesaknya berbuat demikian minggu lepas, mengakibatkan sidang parlimen ditangguhkan beberapa kali. 

Beliau dikatakan terlibat dalam rasuah berhubung peruntukan spektrum 2G, yang dibekalkan pada harga rendah kepada pengusaha telekomunikasi, mengakibatkan kerugian besar kepada kerajaan. 

Sejak kontroversi itu meletus, Raja mempertahankan dirinya dengan berkata, keputusannya itu selaras dengan dasar kementerian dan tidak ada penyelewengan berlaku. 

"Demi mengelakkan kerajaan dari diaibkan dan memelihara keamanan dan harmoni, saya meletak jawatan. 

"Namun, saya tidak bersalah..." katanya kepada media tempatan sejurus selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Manmohan Singh di kediamannya. 

Raja adalah anggota Dravida Munnettra Kazhagam (DMK), dipimpin oleh tokoh karismatik M. Karunanidhi, ketua menteri negeri Tamil Nadu, selatan India. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment