Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Mati di lereng Gunung Angsi


ANGGOTA polis memeriksa A. Pakrisamy yang ditemui mati di lereng kaki Gunung Angsi, Kuala Pilah, semalam.


KUALA PILAH 12 Nov. – Hasrat seorang lelaki untuk meletakkan penanda bagi laluan aktiviti rekreasi di lereng kaki Gunung Angsi dekat sini tidak tercapai apabila dia ditemui mati dalam hutan lipur berkenaan, hari ini.
A. Pakrisamy, 66, ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri pukul 5 petang oleh tiga lagi rakannya yang sama-sama mendaki lereng berkenaan.
Kesemua mereka sepatutnya meletakkan penanda bagi aktiviti Hash Club Run yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang ini.
Rakan baik mangsa, S. Padi, 67, berkata, Pakrisamy merupakan ahli Klana Hash House Harrier (HHH) di sini mendaki lereng curam di kaki gunung tersebut sejak pukul 4.30 petang untuk aktiviti berkenaan yang dijadualkan membabitkan 50 orang peserta.
“Ketika mendaki, Pakrisamy mengadu kepada tiga rakannya dia berasa terlalu letih dan penat.
“Berikutan itu, ketiga-tiga rakannya meminta dia supaya berehat sementara di pertengahan laluan itu. Kesemua rakannya kemudian meneruskan tugas membuat penanda sehingga tiba di kawasan puncak yang dianggarkan sejauh empat hingga lima kilometer di hutan lipur Ulu Bendul ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Tambahnya, sebaik sahaja tiga rakan mangsa tiba di atas dan selepas menunggu beberapa minit, mereka kemudian turun semula mengikut laluan yang sama untuk mencari mangsa.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi di mana mangsa berehat tadi, mereka dapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Apabila diperiksa, mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Mangsa merupakan bekas kakitangan Telekom Malaysia di sini, telah beberapa kali mendaki serta menyertai aktiviti sukan lasak di kawasan rekreasi itu.
Atas sebab itu, dia bersungguh-sungguh untuk membantu pihak urusetia meletakkan penanda bagi memudahkan peserta melalui laluan berkenaan yang dijangka berakhir sekitar lewat pukul 9 malam ini.

No comments:

Post a Comment